suria

Vaksin H1N1 boleh didapati minggu ini, kata syarikat farmaseutikal GSK

KUALA LUMPUR: Syarikat farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK), sudah bersedia menghantar dan mengedarkan dos vaksin Influenza A(H1N1) minggu ini kepada negara-negara yang membuat tempahan termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, Pengarah Perubatannya Dr Pim Kon enggan mendedahkan tarikh sebenar dos vaksin berkenaan dihantar ke Malaysia, sambil menjelaskan bahawa terpulang kepada kerajaan untuk mengumumkannya.

"Saya amat gembira untuk menyatakan bahawa kami bersedia menghantar dos vaksin minggu ini dan kerajaan berkenaan boleh bersedia memulakan program pemvaksinan," katanya menerusi telepersidangan dari United Kingdom semalam.

Persidangan media mengenai selesema pandemik global di sebuah hotel di sini dianjurkan oleh cawangan syarikat farmaseutikal itu di Malaysia.

Katanya syarikat itu menghasilkan hampir 291 juta dos vaksin influenza H1N1 untuk diedarkan ke seluruh dunia termasuk 50 juta dos yang didermakan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

GSK, berpusat di United Kingdom, telah diminta oleh kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan awam dari seluruh dunia termasuk WHO untuk membangunkan dan mengeluarkan vaksin selepas wabak influenza H1N1 tercetus di Mexico April lepas.

Malaysia telah menempah 400,000 dos vaksin bernilai RM14 juta dengan 40,000 dos awal dijangka tiba pada suku keempat tahun ini. BERNAMA

Artikel Lain