suria

Seorang mati, seorang parah dalam kejadian serangan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki remaja berusia 21 tahun terbunuh manakala rakannya mengalami kecederaan parah dalam satu kejadian serangan di hadapan sebuah restoran di Desa Petaling, Cheras, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, kedua-dua mangsa pergi ke restoran tersebut untuk membeli makanan sebelum diserang oleh dua lelaki bermotosikal.

Bagaimanapun, identiti mangsa yang terbunuh dan rakannya berusia 22 tahun belum dikenal pasti.

Katanya siasatan awal menunjukkan mangsa menaiki sebuah kereta untuk pergi ke restoran dan setiba di situ, mereka mendapati restoran berkenaan tutup.

Mangsa yang tinggal di Flat Desa Sri Puteri, Salak Selatan, cuba menghidupkan enjin kereta untuk beredar dari tempat itu tetapi mendapati kunci keretanya patah, katanya.

Ku berkata pemandu kereta itu menelefon rakan mereka untuk membawa kunci pendua dan tidak lama kemudian dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal menghampiri mangsa sebelum berlaku pertengkaran mulut.

"Suspek kemudiannya beredar namun kembali semula dan menyerang mangsa dengan menggunakan topi keledar dan batang besi sebelum melarikan diri," katanya.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai penghantar barang, meninggal dunia sejurus tiba di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan rakannya dilaporkan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain