suria

Wanita cedera ditetak dalam cubaan merompak kedai buku

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual wanita di sebuah kedai buku di Pandan Perdana di sini cedera parah apabila pergelangan tangannya ditetak dengan pisau dalam satu percubaan merompak oleh seorang lelaki.

Mangsa yang berumur 25 tahun itu kini menerima rawatan lanjut di Hospital Ampang dan dilaporkan stabil, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Supt Amiruddin Jamaluddin.

Dalam kejadian di Pandan Perdana, Jalan 4/3, Ampang Jaya, pada pukul 12 tengah hari tadi, seorang lelaki berumur lewat 20an menyamar sebagai pelanggan kedai buku itu.

"Suspek datang ke kedai dengan menunggang motosikal jenis Yamaha. Suspek juga memakai topi keledar muka penuh bagi mengelakkan wajahnya dicam," kata beliau.

"Melihat mangsa berseorangan, suspek mengambil kesempatan dengan mengugut mangsa menggunakan pisau supaya mangsa menyerahkan wang dalam mesin wang itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun enggan menyerahkan wang berkenaan dan menyuruh suspek mengambil sendiri wang dalam mesin wang terbabit.

"Mangsa kemudian cuba melarikan diri dengan menggunakan pintu belakang kedai, namun mendapati ia berkunci. Mangsa yang ketakutan itu kemudian berlari ke pintu hadapan kedai," katanya.

Amirruddin berkata tindakan wanita itu gagal apabila suspek menahannya dan berlaku sedikit pergelutan yang mengakibatkan dahi dan dagu wanita itu cedera dikelar.

"Berang dengan tindakan mangsa yang terus cuba melarikan diri, suspek terus menetak pergelangan tangan kiri mangsa yang menyebabkan mangsa cedera parah.

"Suspek yang panik kemudian bertindak melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa barang dalam kedai terbabit," tambah Amiruddin.

Polis sedang memburu suspek yang kini masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta memaklumkan di manamana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain