suria

Empat sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri

GURUN: Empat, dipercayai dari satu keluarga rentung dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 94.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Gurun.

Ketua Polis Kedah Datuk Syed Azizan Syed Ismail berkata kemalangan pada pukul 6.30 pagi itu dikatakan berpunca daripada treler muatan alat eletronik yang terbabas dan terbalik merentangi jalan.

"Sebuah kereta jenis MyVi yang dinaiki empat orang dipercayai dari satu keluarga itu yang dikatakan mengekori treler berkenaan terus merempuhnya menyebabkan kereta itu terbakar.

"Dua lagi kenderaan yang berada di belakang kedua-dua kenderaan itu turut merempuh kereta MyVi terbabit," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata identiti mangsa yang maut itu belum dikenalpasti berikutan kesemua mereka rentung.

Polis sedang mendapatkan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenalpasti pemilik kereta itu berdasarkan nombor chasis, katanya.

Syed Azizan berkata polis menahan pemandu treler terbabit yang hanya cedera ringan bagi membantu siasatan manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

Beliau berkata ekoran kemalangan itu, polis terpaksa menutup sementara laluan ke Gurun dan laluan dialih ke jalan lama persekutuan sehingga ke tol Sungai Petani Utara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain