suria

Ah Long guna nama pusat tuisyen

PULAU PINANG: Ceti haram atau ah long yang tersepit kerana diburu secara besar-besaran oleh pihak berkuasa kini dikesan menggunakan taktik baru menarik pelanggan dengan berselindung di sebalik nama syarikat pelancongan dan pusat tuisyen.

Menurut polis, mereka juga dipercayai bekerjasama dengan beberapa kedai barangan elektrik bagi menawarkan pinjaman wang tunai kepada orang ramai dan bukannya menjual barangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Roslee Chik berkata taktik sedemikan dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa khususnya polis.

"Taktik itu terbongkar selepas polis menerima beberapa aduan daripada pelanggan dan kita membuat serbuan di beberapa premis di negeri ini yang kononnya menawarkan pakej pelancongan, tuisyen dan barangan elektrik.

"Mereka tidak menawarkan pakej-pakej berkenaan sebaliknya memberi perkhidmatan pinjaman wang dan perlu membayarnya dalam tempoh serta kadar yang telah ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini.

Roslee berkata polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memerangi dan membanteras kegiatan pemberian pinjaman haram hingga ke akar umbi.

Katanya polis turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menanggalkan pelekat yang memaparkan nombor telefon ah long di tempat awam seperti perhentian bas dan pondok telefon.

"Sejak kita tubuhkan pasukan khas itu Julai lepas, sebanyak 15 serbuan dilakukan dan lapan daripada pemberi pinjaman ini didapati tidak mempunyai lesen," katanya.

Polis turut merampas tiga komputer riba, empat pengimbas data, 15 buku akaun, 91 kad ATM, 79 telefon bimbit dan 52 barang kemas.

Turut dirampas wang tunai RM28,000 dan lebih 46,000 keping pelekat iklan memaparkan nombor telefon ah long.

Roslee berkata polis juga sudah mengenal pasti 24 individu berusia antara 20 dan 50 tahun yang terbabit dalam kegiatan ah long termasuk seorang bergelar Datuk.

Mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, pesalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun bagi kesalahan pertama, dan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan berulang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain