suria

Dakwaan tertuduh tidak dapat pengadilan kerana peguam tak cekap ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang rakyat Bangladesh, yang dikenakan hukuman mati kerana membunuh teman wanita tempatannya pada 2002, kononnya dia tidak diadili dengan betul kerana peguam belanya tidak cekap.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjun, dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Gopal Sri Ram, mendapati pensabitan kesalahan terhadap Shahmim Reza Abdul Samad, 35, bukannya kerana ia disebabkan oleh peguam belanya yang tidak cekap kerana keterangan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan tidak wujud unsur tidak cekap yang ketara dan dengan itu tidak berlaku sebarang ketidakadilan.

Mahkamah membuat keputusan bahawa ketidakcekapan peguam bela boleh dijadikan alasan untuk membatalkan pensabitan tetapi ianya perlu tertakluk kepada keterangan dalam setiap kes.

Sri Ram berkata mahkamah tidak dapat menerima alasan Shamim Reza bahawa kegagalan peguam belanya membuktikan bahawa mangsa dibunuh oleh orang ketiga merupakan satu ketidakcekapan yang ketara.

"Bagi sebuah mahkamah yang lebih tinggi untuk menimbang alasan seperti itu, ia mesti mengambil kira prestasi peguam bela secara keseluruhan, dan bukannya semata-mata kepada kegagalan dalam satu atau dua perkara," katanya.

Pada 8 Okt 2006, Shamim Reza, didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Zuriyati Othman, 20, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara di Blok A, Kolej Kediaman Meranti, UiTM, Shah Alam, antara 11 pagi dan 12 tengah hari pada 9 Ogos 2002.

Dia membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak.

Kakak Zuriyati, Fatimah Othman, telah memberitahu mahkamah bahawa pada hari kejadian, beliau terdengar jeritan adiknya itu dari dalam biliknya yang berkunci dari dalam.

Apabila beliau membuka pintu menggunakan kunci pendua, Fatimah mendapati Zuriyati terbaring atas katil dengan kesan tikaman manakala Shamim Reza berada atas lantai di sebelah katil itu.

Hakim Sri Ram berkata kemungkinan orang ketiga memasuki bilik berkunci itu tidak masuk akal, dan hakikat bahawa hakim yang mengendalikan kes itu telah menolak hujah itu sebagai asas pembelaan, tidak menyebabkan berlakunya ketidakadilan.

"Kami berpuas hati bahawa dalam kes ini, perayu telah dihukum dengan betul dan sewajarnya," katanya.

Shamim Reza diwakili peguam Datuk N.Sivanathan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache.BERNAMA

Artikel Lain