suria

Usaha bentuk pakatan pembangkang tidak ancam BN Sarawak

KUCHING: Usaha partiparti pembangkang untuk membentuk pakatan di Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang tidak memberi ancaman kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam.

Beliau berkata empat parti pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat, Parti Nasional Sarawak (SNAP) dan PAS tidak akan dapat bekerjasama walaupun pemimpin parti berkenaan "tidur di bantal yang sama tetapi mempunyai mimpi berlainan."

"Pembangkang yang tidak bersatu padu ini tidak memberi ancaman kepada BN negeri pada pilihan raya negeri akan datang. Mereka gagal untuk mencapai kata sepakat dan mereka tidak mempunyai landasan dan ideologi yang sama," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan geran kerajaan berjumlah RM125,000 kepada badan kebajikan dan pertubuhan agama Sarawak di sini semalam.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan, berkata BN Sarawak telah membuktikan rekod kerjanya memenangi dan berkhidmat kepada rakyat.

"Kami yakin kerana kami (BN Sarawak) telah melaksanakan tugas kami. Biarlah rakyat menilainya (rekod kerja BN)," katanya.

Kelmarin, pemimpin empat parti pembangkang mengadakan mesyuarat di sini yang dipengerusikan Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayup yang juga Pengerusi Majlis Kepimpinan PKR dalam usaha membentuk parti pakatan di Sarawak.

Bertujuan mewujudkan gabungan yang kuat di Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, ekoran mandat kerajaan sedia ada tamat pada 2011, PKR mengadakan mesyuarat bagi membincangkan peruntukan kerusi untuk pertandingan satu lawan satu menentang BN.

Namun, usaha bagi membentuk pakatan untuk mencabar BN Sarawak sedari awal sudah goyah apabila mereka gagal mencapai kata sepakat.

Kegagalan itu dipercayai berpunca daripada tuntutan bertindih pengagihan kerusi antara DAP dan PKR. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain