suria

Kes pekeliling: Kerajaan Selangor diarah fail afidavit balasan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Kerajaan Negeri Selangor memfailkan afidavit balasan dalam tempoh 14 hari terhadap permohonan difailkan Peguam Negara, bagi mengisytiharkan pekeliling yang melarang pegawai dan kakitangan kerajaan negeri memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas waktu pejabat, sebagai tidak sah dan terbatal.

Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim mengeluarkan arahan itu di dalam kamar semasa prosiding pengurusan kes tersebut hari ini.

Mahkamah turut menetapkan 8 Sept depan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Selain Kerajaan Negeri Selangor, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku plaintif, turut menamakan setiausaha kerajaan negeri itu sebagai defendan.

Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun hadir mewakili pihak plaintif sementara pihak defendan diwakili peguam Fahda Nur Ahmad Kamar dan Yusmadi Yusoff.

Pada 20 Ogos lepas, Abdul Gani memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, memohon satu perintah deklarasi bahawa pekeliling berkenaan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bertarikh 28 Julai lepas, sebagai tidak sah dan terbatal.

Dalam afidavit sokongannya, beliau mendakwa atas arahan kerajaan Selangor, setiausaha kerajaan negeri itu mengeluarkan pekeliling iaitu semua pegawai dan kakitangan kerajaan Selangor, tidak dibenar untuk ditemuduga (atau menjadi saksi) SPRM di luar pejabat masing-masing dan perjumpaan mesti dilakukan antara pukul 8 pagi dan 6.30 petang sahaja.

Pekeliling itu turut menyatakan kerajaan negeri menyediakan khidmat guaman kepada mereka semasa SPRM menjalankan siasatan.

Abdul Gani menegaskan pekeliling itu adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(3)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Abdul Gani berkata memandangkan pekeliling itu adalah satu arahan pentadbiran, ia mengikat pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan sekiranya pekeliling itu tidak dipatuhi, ia boleh dijadikan alasan untuk tindakan tatatertib terhadap mereka.

Justeru, katanya, selaku Peguam Negara beliau bertanggungjawab dan berperanan memelihara keluhuran undang-undang serta mempertahan undang-undang negara demi kepentingan awam.

"Dalam menjalankan tanggungjawab ini saya akan memastikan bahawa tidak terdapat mana-mana tindakan, arahan atau pekeliling dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang bertentangan dengan undang-undang negara," katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata pekeliling itu dikeluarkan berikutan keputusan mesyuarat exco negeri 22 Julai lepas, untuk menjamin keselamatan pegawai selepas kematian setiausaha politik Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. BERNAMA

Artikel Lain