suria

Azizan menghadap Sultan Kedah hari ini berhubung kedudukan Exco

ALOR SETAR: Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini untuk memaklumkan permintaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan Exco.

"Atas kuasa Tuanku untuk melantik dan juga menggugurkan manamana Exco. Saya akan sembahkan permintaan daripada PKR supaya dia digugurkan. Kerusi itu kekal kuota PKR kecuali PKR kata berilah pada sesiapa sahaja," kata Azizan.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim di Wisma Darul Aman di sini semalam, Azizan berkata parti pakatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakan Mohd Radzhi termasuk pilihan raya kecil.

Mohd Radzhi, yang dilantik memegang portfolio Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil bebas hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini, Mohd Radzhi berkata dia tidak akan melepaskan jawatan Exco.

Sementara itu, Ahmad berkata PKR kesal sikap tidak bertangungjawab Mohd Radzhi yang keluar parti.

"Khabar angin dia hendak melompat telah lama kedengaran tetapi mengapa dia pilih hari ini untuk keluar parti. Ia tidak lain untuk melemahkan PKR dan merendahkan pimpinan PAS Kedah," kata Ahmad.

Ahmad berkata PKR akan meminta Mohd Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas kerana beliau menang bertanding atas tiket parti itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain