suria

Pita rakaman sidang akhbar Karpal diterima sebagai ekshibit

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerima sebagai bahan bukti pita rakaman oleh jurukamera RTM mengenai sidang akhbar Pengerusi DAP Karpal Singh, yang sedang menghadapi tuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Perak.

Pesuruhajaya Kehakiman Azman Abdullah berkata mahkamah berpendapat permohonan pihak pendakwaan agar mahkamah menerima pita rakaman sebagai eksibit bukan merupakan satu tindakan terlalu awal.

Katanya saksi pendakwaan, jurugambar Adial Singh Hari Singh, telah mengesahkan rakamannya itu dibuat pada 6 Feb di pejabat Karpal dan wartawan RTM, Eliani Mazlan, turut mengesahkan itulah rakaman yang ditayangkan di mahkamah.

"Pihak pembelaan setakat ini tidak menimbulkan sebarang keraguan terhadap pita yang dikemukakan, malah pihak pembelaan menanyakan soalansoalan merujuk kepada kandungan pita tersebut," kata Azman. Katanya tugas Adial Singh hanya menitik beratkan kepada rakaman dan tidak pada kandungan rakamannya.

"Mahkamah berpuashati bahawa sebagai jurugambar, beliau tidak perlu faham apa yang diperkatakan di dalam sidang akhbar tersebut," kata Azman.

Semalam peguam Jagdeep Singh Deo, yang mewakili Karpal Singh, berhujah bahawa sama ada mahkamah menerima atau tidak rakaman itu sebagai eksibit tersebut perlu diputuskan di akhir kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon agar eksibit itu, yang merupakan bukti penting, perlu diterima sebagai eksibit, kerana ia telah dikemukakan melalui orang yang membuat rakaman tersebut.

Karpal Singh, 69 , didakwa membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Perak pada sidang akhbar di pejabatnya di Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari.

Saksi keempat pemberita RTM, Aisyah Ahmad Azam, 25, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menyediakan transkrip sidang akhbar itu dengan menonton pita rakaman yang diberikan kepadanya.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Melissa Mohd Akhir, bagaimana beliau boleh memastikan itulah pita yang diberikan kepadanya, Aisyah berkata ia berdasarkan kepada saiz pita itu serta catatan yang dibuat pada notanya adalah sama dengan apa yang diperkatakan oleh Karpal.

Perbicaraan disambung esok. BERNAMA

Artikel Lain