suria

A(H1N1): Tiga lagi kematian dicatatkan

KUALA LUMPUR: Tiga lagi kematian dicatatkan akibat wabak Influenza A(H1N1) di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 67 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican hari ini.

Beliau berkata ketigatiga kematian itu melibatkan mereka yang berisiko tinggi termasuk wanita berumur 33 tahun yang disahkan meninggal dunia disebabkan 'severe bronchopneumonia' dan H1N1 pada 12 Ogos selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada 7 Ogos.

Mangsa kedua merupakan seorang kanakkanak perempuan berumur 10 tahun yang dimasukkan ke hospital pada 17 Julai lepas dan disahkan meninggal dunia kerana "systematic lupus erythematous with severe pneumonia with renal impairment" pada 13 Ogos lepas, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa ketiga adalah seorang warga emas berumur 71 tahun yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam, batuk dan susah bernafas selama dua hari dan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

"Kementerian Kesihatan turut mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A(H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan wabak ini," kata Dr Mohd Ismail.

Sehingga pagi ini, jumlah pesakit H1N1 yang menerima rawatan di wad adalah 276 orang manakala 36 orang yang disahkan positif H1N1 sedang dirawat di ICU di seluruh negara.

"Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU itu, 21 kes didapati mempunyai faktor risiko," katanya.BERNAMA

Artikel Lain