suria

Boikot majlis angkat sumpah YDP MPSP: Johari dilucut keanggotaan

GEORGE TOWN: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melucutkan Johari Kassim, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengetuai tindakan memboikot majlis angkat sumpah Yang Dipertua (YDP) MPSP baru, Mokhtar Jaip baru-baru ini, sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow berkata, pada mesyuarat mingguan yang diadakan Jumaat lalu, exco sebulat suara bersetuju untuk melucutkan kedudukan Johari.

“Kita telah membuat keputusan bagi melucutkan kedudukan Johari sebagai anggota MPSP di bawah Seksyen 10 (4) Kerajaan Local Akta 1976.

“Di bawah seksyen ini, kedudukan anggota majlis perbandaran boleh diisytiharkan kosong berdasarkan satu daripada tiga keadaan - seorang ahli majlis meletak jawatan pada persetujuan dia sendiri, seorang ahli majlis menghadapi konflik kepentingan ataupun keanggotaannya dibatalkan oleh pentadbiran negeri,” katanya hari ini.

Chow menambah, pembatalan jawatan Johari adalah berdasarkan situasi ketiga dan tidak ada peruntukan undang-undang yang membolehkan beliau membatalkan keputusan tersebut.

"Pembatalan itu berkuat kuasa pada 26 Jun dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Zainal Rahim Seman) akan mengeluarkan satu surat rasmi kepada Johari hari ini.

“Kita percaya tindakan ini adalah satu amaran tegas oleh kerajaan negeri kepada ahli majlis MPSP lain juga yang mengikuti dia (dalam pemulauan),” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Johari mengetuai lapan ahli majlis MPSP dari PKR memulau upacara mengangkat sumpah bekas Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Mokhtar sebagai YDP MPSP kerana mendakwa kedudukan itu milik PKR.

Tindakan itu turut mengundang reaksi Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan setiausaha politiknya, Ng Wei Aik yang menggesa Johari meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan turut mengambil tindakan lanjut terhadap tujuh lagi ahli MPSP dari PKR yang lain, beliau berkata amaran seumpama itu adalah 'cukup baik'.

Sementara itu lapor BERNAMA, tindakan itu segera dibantah oleh PKR yang mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng menarik balik keputusan itu.

Tambah Chow, semasa keputusan itu dibuat ia turut dihadiri wakil-wakil PKR termasuk Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.

"Ini keputusan exco dan di dalam majlis mesyuarat itu terdapat juga beberapa wakil daripada PKR termasuk Mansor Othman, yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang. Mereka maklum mengenai perkara ini," katanya.

Chow berkata Ahli Majlis tidak dilarang daripada menyuarakan pandangan mereka tetapi perbuatan Johari dianggap tidak bersesuaian.

Menurutnya, proses menggantikan tempat Johari akan diuruskan kemudian dan beliau menasihatkan semua Ahli Majlis supaya mengutamakan kepentingan kerajaan tempatan, yang merupakan pelaksana dasar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Mokhtar adalah calon yang paling sesuai untk jawatan YDP," katanya.

Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi berkata, parti itu berpendirian Johari tidak sepatutnya dilucutkan jawatannya.

Pada mesyuarat PKR pusat semalam, Setiausaha Agung parti telah diarah supaya menulis surat kepada Ketua Menteri mengenai pendirian PKR yang tidak bersetuju dengan tindakan terhadap Johari itu.

"Saya percaya surat itu telah dihantar dan mungkin dalam perjalanan kepada Lim dan kita mohon beliau pertimbangkan keputusan mesyuarat exco itu. Saya minta perkara ini dianggap sebagai Urusan politik dan bukannya pentadbiran," kata Zahrain.

Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Mansor mengenai keputusan exco itu dan sebab itu perkara ini dibawa ke peringkat pusat PKR.

Apapun, katanya, beliau berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut mengenai hal ini dengan Lim kelak

Artikel Lain