suria

Anwar sokong syor Nik Aziz mahu debat dengan PM

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu berdebat secara terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi menyelesaikan kemelut politik kedua-dua parti.

"Pada pendapat saya adalah lebih baik beliau berdebat secara terbuka kerana ini dapat mengurangkan media Umno-Barisan Nasional (BN) salah tafsir dan membuat fitnah terhadap kenyataan-kenyataan beliau (Nik Aziz)," katanya.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang ingin mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno dan PAS.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jalan terbaik adalah mengadakan dialog secara terbuka supaya tidak ada pihak yang boleh memutarbelitkan fakta dalam perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, mengenai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang akan berlangsung pada 14 Julai ini, Anwar berkata, PKR akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam membantu parti itu memenangi pilihan raya kecil tersebut.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada PAS. Insya-Allah kita yakin PAS akan dapat pertahankan kerusi kawasan tersebut.

"Kita akan beri sokongan dalam apa jua bentuk kerjasama kepada calon PAS di Manek Urai," katanya. Kelmarin, pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah dinamakan sebagai calon parti itu.

Hari ini, Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dipilih sebagai calon BN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain