suria

A(H1N1): Tujuh lagi kes dikesan di Malaysia

PULAU PINANG: Sebanyak tujuh kes baru Influenza A(H1N1) dikesan di negara ini setakat pukul 8 pagi ini, yang melibatkan enam kes import dan satu kes jangkitan tempatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata daripada tujuh kes itu, lima melibatkan rakyat Malaysia manakala dua lagi rakyat asing yang masing-masing dari Australia dan Ireland.

Kes jangkitan tempatan (kes ke111) pula melibatkan seorang kanakkanak lelaki berusia 4 tahun dari Pulau Pinang, iaitu anak kepada pengidap kes ke-79 dan adik kepada pengidap ke-101, yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) malam tadi untuk rawatan antiviral dan keadaannya dilaporkan stabil, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) ke66 di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan pertambahan tujuh kes terbaru itu, Malaysia mencatat 112 kes setakat ini.

"Daripada 112 kes itu, 96 adalah kes import dan 16 lagi jangkitan tempatan dan daripada jumlah itu, 71 orang telah dibenarkan pulang manakala 41 lagi masih dirawat di hospital," katanya.

Liow berkata, setakat ini tidak ada sekolah baru yang diarahkan ditutup dan kesemua empat sekolah yang ditutup berikutan jangkitan tempatan sebelum ini bagi tujuan kuarantin akan dibuka semula Isnin ini.

Bagaimanapun, katanya, SMK Abdul Rahim 2, Kudat bertindak menutup sendiri sekolah itu setelah 128 orang yang terdiri daripada 76 murid dari dua kelas, 10 kakitangan sekolah dan 42 guru dikuarantin di rumah sehingga 29 Jun ini kerana menjadi kontak kepada kes ke-97.

"Oleh kerana ramai guru dan kakitangan sekolah yang dikuarantin, maka mereka menutup sendiri sekolah walaupun kementerian pada asalnya hanya mengarahkan dua kelas sahaja yang ditutup," katanya.

Selain mereka, 15 kontak terdekat yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan juga dikenakan kuarantin rumah, katanya.

Beliau berkata, pengidap kes ke-106 merupakan seorang wanita Ireland berumur 33 tahun yang bercuti ke Malaysia bersama suaminya dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Penerbangan Malaysia MH122 pada 23 Jun lalu tanpa sebarang simptom jangkitan influenza.

Katanya, wanita itu mula demam pada 25 Jun dan mendapatkan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan positif H1N1 dan enam kontaknya telah dikenal pasti dan diletakkan di bawah kuarantin rumah manakala penumpang pesawat berkenaan sedang dikesan.

Liow berkata, kes ke-107 merupakan pelajar wanita rakyat Malaysia berumur 20 tahun, yang belajar di Melbourne dan balik bercuti ke negara ini pada 22 Jun lalu menggunakan pesawat Air Asia X D7 2725.

Pelajar itu kemudiannya meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang melalui penerbangan AirAsia AK 5374 dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 25 Jun setelah demam dan sakit tekak dua hari sebelum itu.

Sejumlah lima kontak terdekat termasuk anggota keluarganya dikuarantin di rumah dan penumpang pesawat yang sama sedang dikesan.

Kes ke-108 melibatkan pelajar lelaki rakyat Malaysia, 26, yang balik dari bercuti di Melbourne dan tiba di KLIA pada 25 Jun menggunakan penerbangan MH128 dan menerusi saringan di KLIA beliau didapati mempunyai demam dan setelah sampel tekaknya diambil, beliau dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin di rumah.

Bagaimanapun, pada 26 Jun beliau disahkan positif influenza dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan tujuh kontaknya di kuarantin di rumah dan semua penumpang pesawat yang sama diminta menghubungi Pejabat Kesihatan terdekat.

Liow berkata, pengidap kes ke109 merupakan seorang kanakkanak lelaki berusia 11 tahun dari Australia yang bercuti bersama bapanya di Kemboja selama lima hari dan transit di KLIA dalam perjalanan pulang ke Melbourne.

Kanakkanak itu dikesan demam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan didapati positif pada 26 Jun.

Bapanya telah dikuarantin dan diberi rawatan antiviral.

Kes 110 pula melibatkan seorang pelajar wanita berusia 22 yang pulang ke negara ini setelah melancong di Australia sejak 27 Mac lalu dan mula demam ketika berada di Melbourne pada 22 Jun.

Dalam perjalanan pulang ke Malaysia pada 25 Jun lalu, Liow berkata, pelajar yang menaiki pesawat Jetstar 3K683 itu transit di Singapura dan setibanya di KLIA, beliau mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Beliau dibenarkan pulang serta dikenakan kuarantin rumah dan pada 26 Jun beliau didapati positif H1N1 dan dimasukkan semula ke hospital yang sama manakala sembilan kontak dengannya telah dikesan dan dikuarantin di rumah.

Menurut Liow, kes 112 pula melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 27 tahun yang bekerja di Sydney dan pulang ke Malaysia dengan penerbangan MH122 dan tiba di KLIA pada 21 Jun.

Katanya, dari KLIA, lelaki itu menaiki penerbangan MH1194 ke Pulau Pinang pada hari yang sama dan mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada 25 Jun dan dirujuk oleh klinik swasta ke HPP pada hari yang sama dan disahkan positif influenza A(H1N1) pada keesokan harinya.

Sebanyak empat orang kontak lelaki ini telah dikuarantin di rumah dan kontak terdekat lain sedang dikenal pasti, katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 1,843 kes telah disiasat dan 112 daripadanya didapati positif manakala 1,705 disahkan negatif dan 26 kes masih menunggu keputusan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan perjalanan ke negara yang dilanda wabak kecuali jika benar-benar tidak dapat dielakkan kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan influenza itu. BERNAMA

Artikel Lain