suria

Kastam rampas syabu dan ketamin bernilai RM6.47 juta

NILAI: Cawangan Narkotik Kastam Diraja Malaysia menahan dua warga asing dan merampas dadah jenis syabu dan ketamin yang dianggarkan kesemuanya seberat 27kg bernilai RM6.47 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata sepasukan pegawai Kastam dari Unit Khas Pemeriksaan Penumpang KLIA menahan seorang lelaki warga Iran berumur 26 tahun pada kira-kira pukul 3.40 petang dan mengarahkannya yang membawa dua bagasi untuk diimbas begnya.

Beliau berkata lelaki itu yang tiba dengan sebuah penerbangan dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada kira-kira pukul 3.40 petang membawa dua bagasi diarah untuk begnya diimbas.

"Imbasan mendapati imej berwarna hijau yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas bagasi yang dibawa mendapati satu bagasi berisi pakaian manakala satu lagi mengandungi lima tin jeruk timun.

"Pemeriksaan selanjutnya ditumpukan pada tin jeruk timun yang dibuat begitu rupa seolaholah dalam bentuk asal, menemui cecair jernih yang disyaki dadah jenis syabu. Dadah tersebut kirakira 23kg (termasuk tin) dengan harga pasaran RM5.75 juta," katanya pada sidang akhbar di pejabat Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat di Kampung Jijan Tengah di sini hari ini.

Md Hassim berkata penyeludupan syabu dalam bentuk cecair jernih ini adalah kali pertama yang dikesan Kastam.

Beliau berkata cecair jenis ini apabila terdedah kepada udara akan bertukar menjadi 'hablor kristal' dan saringan awal mengesahkan ia adalah 'methamphetamine' (syabu @ice).

Menurutnya dokumen perjalanan menunjukkan lelaki ini pernah datang ke Malaysia sebanyak tiga kali dan kini dia direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu beliau berkata pada hari yang sama juga seorang lelaki warga India berumur 55 tahun ditahan di KLIA kerana disyaki membawa dadah jenis ketamin yang dianggarkan 4kg dengan harga pasaran kira-kira RM72,000.

Beliau berkata sepasukan pegawai Kastam dari unit itu menahan lelaki tersebut yang tiba dengan sebuah penerbangan dari Colombo, Sri Lanka pada kira-kira pukul 1.50 petang.

Katanya mensyaki sesuatu yang mencurigakan, pegawai Kastam tersebut mengarahkan bagasi yang dibawa oleh lelaki itu diimbas dan hasil imbasan memberi imej berwarna hijau.

"Siasatan lanjut ke atas bagasi yang dibawa mengandungi pakaian, menjumpai bungkusan plastik yang dibaluti dengan kertas karbon disorok dalam lipatan lima helai sari.

Kandungan dalam bungkusan tersebut diperiksa dan didapati serbuk kristal putih yang disyaki dadah jenis ketamin," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati lelaki itu pernah datang ke Malaysia sebanyak tiga kali sebelum ini dan dia kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Menurutnya keduadua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori, katanya. BERNAMA

Artikel Lain