suria

6 remaja lari dari pusat pemulihan akhlak Paya Terubong

PULAU PINANG: Enam remaja lelaki melarikan diri dari pusat pemulihan akhlak di Paya Terubong di sini awal pagi tadi melalui siling di bilik asrama mereka.

Kejadian itu disedari oleh pengawal asrama kira-kira 2.20 pagi setelah menyedari terdapat kesan pecah di bahagian siling itu.

"Kesemua pelajar yang melarikan diri adalah pelajar yang terlibat dengan kes curi motosikal, mencabul kehormatan dan pecah rumah," kata Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Gan Kong Meng.

Katanya polis telah memulakan gerakan mencari pelajar tersebut yang berasal dari Jawi di negeri ini, Bandar Baru Kulim, Mahang dan Jitra di Kedah.

"Semasa melarikan diri, kesemua pelajar dipercayai memakai baju T berwarna merah dengan tertera tulisan "Asrama Paya Terubong" di bahagian belakang," katanya.

Gan meminta orang ramai supaya menghubungi Bilik Gerakan Polis Timur Laut melalui talian 04-2181882 atau balai berdekatan sekiranya terserempak dengan keenam-enam pelajar itu. BERNAMA

Artikel Lain