suria

Adik beradik aktif jual ecstacy ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang abang sanggup melarikan diri meninggalkan adik yang ditahan polis dan sempat menaiki bas apabila kegiatan menjual dadah secara bergerak yang dijalankan mereka dikesan polis.

Bagaimanapun usaha lelaki berusia 24 tahun itu menemui kegagalan apabila polis berjaya menahannya dalam bas itu sebelum ia sempat bergerak di hadapan sebuah pusat membeli belah terkemuka di ibu negara.

Ketua Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata operasi pada pukul 7.10 malam Rabu lepas itu berjaya merampas 452 biji pil ecstacy yang bernilai RM18,000.

Beliau berkata polis mengesan kegiatan dua beradik itu yang sering menjadikan tempat letak kereta di pusat membeli belah sekitar Bukit Bintang sebagai tempat pertemuan untuk penjualan dadah.

"Polis menahan suspek pertama berusia 23 tahun di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di pusat membeli belah itu dan menemui 452 biji pil ecstacy, manakala pada abangnya yang berusia 24 tahun, polis menemui sebungkus ketamin seberat 2.20 gram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua adik beradik yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai mendapat bekalan dari Kepong dan menjualnya di sekitar Bukit Bintang. "Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan penjualan dadah sejak 3 hingga 4 bulan lepas dan polis sedang mengenalpasti individu yang menjadi tempat dua beradik ini mendapat bekalan," katanya.

Kang berkata ujian air kencing yang dijalankan mendapati adik lelaki terbabit positif dadah dan kedua-dua mereka kini ditahan reman selama enam hari sehingga esok.

Sementara itu dalam kes berasingan tiga lelaki ditahan dalam dua serbuan di Jalan Ipoh dan Taman Miharja, Cheras pada Khamis lepas.

Kang berkata dalam serbuan pertama di sebuah bilik di hotel Jalan Ipoh, tujuh lelaki dan seorang wanita berumur antara 28 dan 55 tahun ditahan dan 84 biji ecstacy dirampas daripada seorang lelaki terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas 236 biji pil ecstacy dan 67 pil eramin 5 dari seorang lagi lelaki. Ketika serbuan dibuat, mereka dipercayai sedang merancang untuk mengadakan parti," katanya.

Beliau berkata hasil saringan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan ketamin manakala enam lagi yang didapati negatif dibebaskan.

Kang berkata susulan daripada penahanan dua lelaki itu, polis menahan seorang lelaki berumur 51 tahun yang dipercayai pembekal dadah kepada keduadua lelaki terbabit.

"Polis menahan lelaki itu ketika dia sedang memandu di kawasan Taman Miharja, Cheras dan hasil pemeriksaan menemui pil ecstacy sebanyak 641 biji yang disembunyikan di bawah kerusi penumpang kereta itu," katanya.

Jumlah kesemua 961 estacy yang dirampas bernilai RM39,000, katanya.

Ketigatiga mereka ditahan reman selama enam hari sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain