KUALA LUMPUR: Tempoh reman tiga Ah Long yang berakhir hari ini bagi membantu kes mengurung dan merantai peminjam seperti binatang di Taman Perindustrian, Sri Kembangan di sini disambung tiga hari lagi hingga Selasa ini.
Yang turut mendapat perintah reman ialah dua tangkapan terbaru kes tersebut semalam. Keduadua mereka ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini.
Perintah tahanan sambung reman dan reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang di sini.
Mereka direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan kerana melakukan peras ugut dan mengurung secara salah.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan perkara tersebut.
Beliau berkata tangkapan terbaru itu dibuat di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Ampang semalam.
"Kedua-dua mereka yang ditahan adalah adik beradik dan berumur dalam lingkungan 20an," katanya.
Katanya polis turut membuat pemeriksaan di pejabat sindiket Ah Long tersebut yang terletak kira-kira 120 meter dari rumah tangkapan terbaru itu semalam.
Beliau berkata hasil pemeriksaan itu polis menemui rantai besi yang dipercayai digunakan untuk mengikat mangsa yang gagal melunaskan hutang, cat dan poster.
Dalam kejadian Rabu lepas, garagara gagal membayar hutang Ah Long, tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam lokap buatan sindiket Ah Long itu.
Bagaimanapun kegiatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar apabila polis menahan dua lelaki yang dipercayai Ah Long hasil maklumat awam di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong di sini pada hari yang sama.
Ketika ditahan suspek berusia 30 dan 33 tahun itu sedang membuat urusan pembayaran hutang. BERNAMA


