suria

33 kes Ah Long direkodkan di Johor sejak Januari

JOHOR BAHARU: Sebanyak 33 kes melibatkan ceti haram atau "Ah Long" direkodkan di seluruh Johor sejak Januari lepas hingga semalam, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 16 kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK (enam), Seksyen 507 KK (lima), Seksyen 384385 KK (tiga), Seksyen 323326 KK (dua) dan Seksyen 327 KK (satu).

"Kebanyakan Ah Long menggunakan kekerasan dengan mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa, mendatangkan bencana dengan menyimbah cat terhadap kenderaan atau rumah kediaman serta mengugut mangsa untuk menuntut balik hutang mereka," katanya selepas merasmikan kempen Rumah Selamat sempena cuti persekolahan, di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis pada 13 Mei lepas turut menahan seorang lelaki berumur 28 tahun yang bertindak sebagai tauke Ah Long yang bergiat cergas di sekitar Tangkak dan Muar. Beliau berkata lelaki itu yang ditahan di bandar raya ini mengikut Akta Kediaman Terhad 1933 dikenakan perintah sekatan selama dua tahun di Mukim Telemong, Hulu Terengganu, mulai Selasa lepas.

Mohd Mokhtar berkata polis memandang serius kegiatan Ah Long dan akan menggunakan peruntukan undangundang sedia ada bagi menangani keganasan kumpulan berkenaan.

Mengenai kempen Rumah Selamat, beliau berkata 1,000 anggota akan ditugaskan untuk mengawasi kediaman orang ramai yang bercuti atau pun pulang ke kampung selama tempoh cuti sekolah.

"Kempen Rumah Selamat sudah dimulakan sejak 2006. Sebanyak 2,218 rumah menyertai kempen ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina lepas dengan 3, 918 rondaan dilakukan oleh polis terhadap kesemua rumah tersebut," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya mengisi borang pemberitahuan untuk membolehkan polis mengawasi rumah mereka bagi mengelak sebarang kerugian akibat kejadian pecah rumah. BERNAMA

Artikel Berikut

AGM, EGM Umno Oktober ini

Artikel Lain