suria

Umno P.Pinang nafi arah ahlinya tidak mengundi di Penanti

BUTTERWORTH: Umno Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan kononnya parti itu mengarahkan 5,000 anggotanya supaya tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti hari ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata parti itu tidak pernah memaksa anggotanya supaya tidak mengundi kerana Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya itu.

"Kita tidak pernah paksa supaya mereka tidak pergi mengundi. Terpulanglah kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Umno merancang membawa anggotanya di Penanti mengadakan lawatan ke Thailand supaya mereka tidak mengundi.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar terdiri daripada 72.68 peratus pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Mohammad Fairus Khairuddin. BERNAMA

Artikel Lain