suria

AGM, EGM Umno Oktober ini

KUALA LUMPUR: Umno akan mengadakan Perhimpunan Agung 2009 dan perhimpunan agung khas pertengahan Oktober ini, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Kedua-duanya akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober.

Najib memberitahu, perhimpunan khas akan diadakan sebelum perhimpunan agung bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti.

"Perhimpunan agung akan bermula dengan perhimpunan agung khas iaitu dengan tujuan untuk meminda Perlembagan Umno.

"Bila ia selesai, ia akan kembali kepada Perhimpunan Agung seperti biasa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, hari ini.

Najib berkata, draf cadangan bagi meminda perlembagaan itu hampir siap dan akan diedarkan kepada Umno negeri bagi mendapatkan maklum balas mereka.

"Seterusnya, MT akan membuat ketetapan tentang peruntukan undang-undang yang akan dipinda dan seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat agung khas itu," katanya.

Najib berkata, dalam perhimpunan agung itu nanti, hanya satu usul yang akan dibahaskan iaitu usul ucapan penghargaan kepada Presiden parti.

"Bagi usul ini nanti, semua orang boleh bawa apa jua perkara yang ingin dibawa," katanya.

Sementara itu, mesyuarat hari ini juga turut mengesahkan secara rasmi kemasukan semula bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta anak mereka, Datuk Mokhzani.

Ketiga-tiga mereka telah keluar daripada parti Mei 2008 dan menyerahkan borang menyertai semula Umno April lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain