suria

Bangunan Jaya Supermarket runtuh, seorang maut

RUNTUH...Pemandangan dari udara tapak bangunan lama Jaya Supermarket yang runtuh petang tadi.
RUNTUH...Pemandangan dari udara tapak bangunan lama Jaya Supermarket yang runtuh petang tadi.
RUNTUH...Pemandangan dari udara tapak bangunan lama Jaya Supermarket yang runtuh petang tadi.

PETALING JAYA: Bangunan yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket di Seksyen 14/20 di sini runtuh petang ini hingga mengorbankan seorang daripada sembilan pekerja yang terperangkap ketika mereka melakukan kerja-kerja merobohkan bangunan itu.

Kesemua sembilan mangsa yang terperangkap dalam insiden kira-kira 5.02 petang itu adalah warga Indonesia dan mereka gagal keluar dari tapak projek kerana berada di tingkat bawah bangunan itu ketika runtuhan berlaku, menurut polis.

Sehingga 10 malam, tiga mangsa telah dikeluarkan dari runtuhan itu di mana seorang terkorban akibat terperangkap dalam timbunan runtuhan manakala dua lagi telah dibawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan manakala enam lagi mangsa masih terperangkap.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamad berkata, struktur bangunan yang runtuh itu adalah satu pertiga dari keseluruhan bangunan yang berkeluasan 6,400 meter persegi meliputi bangunan 10 tingkat yang bersambung dengan bangunan lima tingkat.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan sehingga dimaklumkan kemudian" katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Antara yang terlibat dalam operasi mencari dan penyelamat ialah 50 anggota polis, bomba (30), Pasukan Mencari dan Menyelamat (Smart) (15), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) (30) dan Rela (30), katanya.

Mayat itu dikeluarkan dari tapak runtuhan pada kira-kira 6.50 petang.

Arjunaidi berkata, pihak bomba menggunakan "skylift" untuk membuat penilaian mengenai tahap keselamatan struktur bangunan yang runtuh itu bagi membolehkan pasukan penyelamat untuk memasuki tapak runtuhan.

Pihak bomba juga menggunakan alat pengesan bagi mengesan kedudukan mangsa yang masih terperangkap.

Katanya berkata, insiden itu bagaimanapun tidak mendatangkan bahaya kepada kawasan perumahan berhampiran.

Tinjauan mendapati penduduk di kawasan perumahan sekitar masih berada di kediaman masing-masing.

Laluan di hadapan bangunan runtuh itu ditutup pada lalulintas bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan manakala jalanjalan lain di kawasan Seksyen 14 dibuka seperti biasa.

Timbalan Pengarah Iktisas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata mangsa yang maut dalam kejadian itu dikenali sebagai Maskor, 28, manakala yang cedera pula ialah abang kepada Maskor yang dikenali sebagai Suryano, 32, dan Sale, 48.

"Dua mangsa yang cedera itu sekarang berada dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Jamiah berkata seramai 45 anggota paramedik dari tiga buah hospital iaitu PPUM, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur berada dilokasi kejadian untuk memberikan bantuan perubatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pihak bomba menerima panggilan pada pukul 5.08 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

Seorang saksi, Syed Mohammad Aidid Syed Ahmad Aidid, 41, berkata beliau mendengar satu dentuman kuat seperti guruh ketika kejadian itu berlaku.

"Bangunan itu betul-betul di sebelah kiri saya. Saya nampak habuk. Batu-batu jatuh di atas kereta saya macam hujan batu," katanya kepada Bernama.

Syed Mohammad Aidid berkata beliau baru meninggalkan bangunan Digital Mall yang terletak bersebelahan bangunan yang runtuh itu untuk ke pejabatnya di Phileo Damansara.

"Di hadapan saya ketika itu terdapat sebuah kereta Proton dan seorang perempuan sedang melalui kawasan itu. Namun semua mereka sempat menyelamatkan diri. Saya pula terus pecut, bagaimanapun kereta saya di bahagian kiri dan atas kemek. Waktu itu saya rasa amat takut dan sempat berdoa agar tidak ditimpa sebarang kejadian buruk," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain