suria

13 bahagian keluar parti jika keputusan ROS memihak Kayveas

JOHOR BAHARU: Anggota-anggota di 13 daripada 19 bahagian Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri Johor akan keluar parti sekiranya laporan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memihak kepada Datuk M. Kayveas. Ini dinyatakan kumpulan penyokong Senator Datuk T. Murugiah pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

"Sekiranya keputusan itu memihak kepada Murugiah pula, kita akan berusaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PPP dan Barisan Nasional," kata kumpulan tersebut yang diketuai oleh timbalan pengerusi bahagian Pulai Dr. Muruga Raj Rajathurai.

Bagaimanapun, mereka tidak memberikan jumlah sebenar anggota PPP yang bakal keluar parti sekiranya Kayveas kekal sebagai presiden.

Beliau mendakwa menerima 5,000 panggilan telefon sehingga kini dari pelbagai pihak yang menyatakan hasrat mereka menyertai kumpulan itu biarpun apa keputusan ROS.

Persidangan akhbar itu turut disertai oleh Ketua Bahagian Pulai M Gajentran; Tan Lai Soon (Sri Gading); G.S Maniam (Kota Tinggi); M. Vimalanadan (Ayer Hitam); dan lebih 30 anggota peringkat cawangan. Dr. Muruga berkata Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Ahad lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) adalah sah di mana mereka yang hadir telah dimaklumkan terlebih dahulu mengikut perlembagaan parti.

Katanya, ramai yang menyokong Murugiah sebagai presiden tetapi mereka tidak mahu mendedahkan diri mereka.

M Gajentran, mendakwa semua ahli dan bahagian berkenaan sudah menyatakan persetujuan bersama untuk keluar daripada PPP memandangkan, sudah hilang kepercayaan kepada Kayveas yang menuduh perwakilan ke EGM itu, sebagai tidak sah.

"Bagaimana beliau (Kayveas) boleh membuat tuduhan berkenaan...sedangkan PPP di bawah pimpinannya tidak ditadbir mengikut perlembagaan parti. Bayangkan, di negeri ini, misalnya, tidak pernah ada mesyuarat di peringkat bahagian atau cawangan.

Selain itu, katanya, ahli parti juga langsung tidak mengetahui status keahlian mereka sama ada sah atau tidak kerana tidak menerima kad selepas memperbaharui kad masing-masing.

Katanya, perkara berkenaan pernah dibangkitkan dalam konvensyen parti itu di peringkat negeri atau dalam pertemuan dengan Kayveas, tetapi tidak berhasil kerana Presiden berkenaan akan memecat manamana ahli yang mempersoalkan kuasanya.

Persidangan akhbar itu kecoh apabila lima anggota Pemuda negeri yang menyokong Kayveas memasuki tempat persidangan dan cuba dihalang oleh pihak penganjur.

Bagaimanapun, keadaan menjadi terkawal apabila mereka yang diketuai Pemangku Ketua Pemuda Nasional dan Ketua Pemuda Negeri, Jamaludin Ghulamhan dibenarkan masuk untuk mengikuti persidangan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain