suria

Pemandu lori didakwa edar syabu bernilai RM254 juta

ROMPIN: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu seberat 978.015 kilogram di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, di sini, pada 2 Mei lepas.

Lee Yong Toe, 48, dari Taman Iskandar, Johor Bahru, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 6.45 pagi bersama seorang lagi yang masih bebas.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 Pindaan 1998 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Ema Shahriana Ali menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan berat sebenar dadah berkenaan.

Tertuduh diwakili peguam, Mas Hanida Mohamad sementara pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud.

Tertuduh yang berpakaian lokap warna jingga dengan matanya ditutup dengan sejenis gogal (kaca mata air) tiba di mahkamah pada pukul 2.45 petang dengan diiringgi oleh lima buah kereta polis.

Sementara itu, pemberita dilarang membawa masuk telefon bimbit, beg dan pen ke dalam mahkamah kecuali buku catatan manakala pen diberikan percuma oleh mahkamah.

Di KUANTAN, dua lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (LangkahLangkah Pencegahan Khas 1985) selama tempoh 60 hari.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan.

Dalam kejadian kes rampasan dadah terbesar negara bernilai RM245 juta itu, seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' berusia 30an adalah antara empat suspek utama ditahan berhubung kes tersebut.

Laporan akhbar sebelum ini menyatakan polis percaya dadah jenis syabu itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan laut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain