suria

Pelakon K. Sujatha tidak mengandung semasa diperiksa - doktor

KUALA LUMPUR: Seorang pakar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (TARH) berkata pelakon K. Sujatha tidak mengandung semasa beliau membuat pemeriksaan terhadapnya.

Dr Kiran Nair, 37, berkata beliau melakukan pemeriksaan terhadap Sujatha, termasuk menekan bahagian perut wanita itu, apabila dia dipindahkan dari wad biasa ke wad kelas satu di hospital berkenaan.

"Selalunya doktor dapat merasa apabila janin sudah berusia 12 minggu atau tiga bulan, tapi dalam kes Sujatha, rahimnya biasa saja," kata Dr Kiran yang menyediakan laporan perubatan wanita itu.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pendapat Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis bahawa adalah lebih konklusif sekiranya bedah siasat dilakukan terhadap mayat Sujatha bagi menentukan sama ada wanita itu mengandung atau sebaliknya.

Dr Kiran, yang kini bertugas di Hospital Putrajaya, juga berkata sejarah perubatan pelakon itu juga tidak mengandungi sebarang keterangan sama ada dia hamil atau tidak apabila wanita itu dimasukkan ke hospital pada 19 Jun 2007.

"Dalam kes ini, Dr S. P. Sakthivello yang menyediakan sejarah perubatan Sujatha, tidak memasukkan sebarang keterangan, manakala doktor yang sepatutnya mengisi bahagian yang dikosongkan oleh doktor itu (Dr Sakthiveloo), juga tidak mencatat sebarang keterangan mengenainya," kata beliau.

Menjawab soalan sama ada menjadi suatu kelaziman bagi seseorang pakar memberi arahan kepada doktor biasa supaya tidak mengemukakan soalan kepada pesakit yang diamsukkan ke wad, Dr Kiran berkata perkara itu adalah sesuatu yang biasa.

"Mungkin, dalam kes ini, Dr Sakthiveloo telah bertanya semua soalan yang relevan kepada pesakit berkenaan di wad kecemasan dan oleh itu, soalan mengenai sejarah perubatannya tidak lagi perlu ditanya," kata Dr Kiran.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam inkues berhubung kematian Sujatha, 28, di Hospital Tengku Rahimah di Klang pada 25 Jun 2007, enam hari selepas wanita itu dimasukkan ke situ kerana didakwa meminum racun rumpai.

Mengenai isu kehilangan sampel darah dan air kencing yang diambil pada hari pertama dan kedua Sujatha dimasukkan ke hospital itu, Dr Kiran berkata perkara demikian memang kerap berlaku.

Menjawab soalan peguam K. Kumaraendran yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holidings Veel Paari sama ada beliau ada mendengar manamana doktor yang merawat Sujatha bersungut bahawa Dr Sakthiveloo campur tangan dalam rawatan yang mereka berikan, Dr Kiran berkata beliau tidak pernah mendengarnya.

Dr Kiran berkata adalah perkara biasa bagi pakar yang bertugas secara "on call" melawat manamana pesakit yang mereka suka dan dalam kes Sujatha, Dr Sakthivelloo adalah doktor pertama yang memberi rawatan kecemaan kepadanya.

"Dr Sakthivelloo bertugas secara "on call" pada hujung minggu ketika Sujatha dimasukkan ke hospital itu dan beliau melawat wanita berkenaan beberapa kali bagi memeriksa perkembangan kesihatannya," kata Dr Kiran.

Menjawab soalan peguam Datuk C. Vijayakumar berapa banyak racun (paraquat) yang diminum boleh membawa maut kepada seseorang, Dr Kiran berkata jika jumlah yang diminum itu kurang 10ml, ia tidak boleh membawa maut, jika diminum 1020ml, maka kadar ancaman maut akibatnya ialah 6070 peratus dan jika seseorang itu meminum lebih 20ml, maka ia boleh membawa maut hampir 100 peratus.

"Dalam kes Sujatha, dia telah minum lebih 50ml dan kami telah memberi semua rawatan yang sewajarnya bagi menyelamatkan nyawanya," kata beliau.

Inkues di hadapan Koroner Mohd Faizi Che Abu ini disambung pada 22 Jun. BERNAMA

Artikel Lain