suria

4 ditahan, dadah bernilai RM31,000 dirampas

PENDANG: Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah dipercayai heroin dan syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM31,000 di sebuah rumah di Kampung Charok Kudung di sini semalam.

Heroin itu seberat 250 gram bernilai RM24,000 dan syabu seberat 10 gram bernilai RM7,000, dirampas daripada salah seorang lelaki berkenaan.

Turut dirampas daripadanya ialah wang tunai RM2,421 yang dipercayai hasil daripada jualan dadah dalam serbuan 4.45 petang itu.

Sepasukan Polis Bahagian Narkotik Daerah Pendang diketuai Pegawai Penyiasat, Insp Zamani Mohd Nawi menyerbu rumah itu selepas menerima maklumat orang awam, kata Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Abdul Aziz Ahmad.

Beliau berkata pasukan tersebut menahan seorang penggangur berumur 36 tahun di rumah berkenaan sebelum membawanya ke Balai Polis Pendang untuk disoal siasat.

"Polis menemui sejumlah dadah di dalam beg sandang lelaki ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata lelaki itu yang berasal dari Kampung Gajah Mati di sini dipercayai menjadi pengedar di kawasan Pendang, juga didapati positif dadah.

Jika didapati bersalah, lelaki ini boleh dihukum mati mandatori atas kesalahan memiliki heroin dan penjara tidak melebihi lima tahun dan sembilan sebatan kerana memiliki syabu, katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut terhadap penganggur berkenaan membawa kepada penangkapan tiga lagi rakannya berumur antara 26 dengan 40 tahun di rumah yang sama, tidak lama selepas suspek pertama itu ditahan.

Polis menemui pula heroin dan ganja kesemuanya seberat 8.5 gram daripada ketigatiga mereka, kata Abdul Aziz. Keempa-tempat mereka ditahan reman sehingga 13 Mei. BERNAMA

Artikel Lain