suria

Polis rampas RM448,000 ganja mampat di JB

JOHOR BAHARU Polis merampas 25 ketulan ganja mampat bernilai RM448,000 yang ditanam di belakang sebuah rumah kedai di Kampung Plentong, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata bertindak atas maklumat orang ramai, sepasukan anggota Narkotik dengan bantuan Unit Anjing Pengesan menemui 22.4kg ganja itu, kira-kira pukul 6.30 petang Khamis lepas.

"Ganja itu dimasukkan ke dalam guni sebelum ditanam dan kemudian ditutup dengan timbunan daun kering bagi mengelak diketahui pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata tiada penangkapan dibuat dan penemuan dadah itu susulan penangkapan dua lelaki Aceh membabitkan rampasan 8.49kg ganja, pada Januari lepas.

Dalam kes lain, Roslan berkata pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM17,000 dan menahan dua lelaki serta dua wanita berumur 31 hingga 32 tahun selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Johor Jaya, Ahad lepas.

Beliau berkata serbuan dilakukan kira-kira 8 malam dan polis menemui 800 biji pil Eramin 5 bernilai RM12,000, 150 biji pil ecstasy bernilai RM4,500 dan satu gram syabu bernilai RM500 dalam serbuan itu.

Kesemua yang ditahan termasuk seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita Vietnam kini direman sehingga Ahad depan. BERNAMA

Artikel Lain