suria

Insiden monorel: Mahkamah diberitahu wujud cubaan merosakkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa hasil siasatan jawatankuasa bagi menyiasat roda keselamatan tren monorel yang menimpa seorang wartawan kanan Bernama tidak menolak kemungkinan wujudnya percubaan merosakkan secara sengaja atau tidak, sebagai punca kejadian roda itu tertanggal.

Abdul Kadir Ab Latif, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha (LRT) di Kementerian Pengangkutan dan ahli Jawatankuasa Siasatan Kejadian Roda Keselamatan Tertanggal dan Menimpa Pejalan Kaki Pada 16 Ogos 2002, berkata hasil siasatan jawatankuasa mendapati bolt-bolt yang mengikat roda keselamatan telah longgar dan seterusnya tertanggal semasa tren sedang menjalani ujian di landasan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata berdasarkan kepada kelemahan kawalan keselamatan di tapak penyimpanan sementara di Jalan Maharajalela, jawatankuasa itu tidak menolak kemungkinan wujudnya percubaan merosakkan roda itu, bagaimanapun tiada bukti menunjukkan perbuatan itu dilakukan oleh seseorang.

Abdul Kadir berkata punca sebenar bagaimana dan mengapa keenamenam bolt pada roda keselamatan itu tertanggal tidak dapat dikenal pasti.

"Ahli-ahli Jawatankuasa siasatan ini terdiri daripada wakilwakil daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Keretapi Malaysia," katanya yang merupakan saksi ketiga dalam kes ini, semasa pemeriksaan utama oleh peguam Steven Thiru yang mewakili David Chelliah dalam kes saman kecuaian RM5 juta terhadap pengusaha monorel. Setelah enam tahun dan tujuh bulan penantian, kes saman yang difailkan Chelliah pada 2003, terhadap Monorail Technology, KL Monorail Systems Sdn Bhd (KLMS) dan Ketua Pengarah Keretapi berhubung kejadian roda keselamatan tren monorel yang sedang dipandu uji tercabut, melayang dan mengenainya ketika beliau sedang menyeberangi Jalan Sultan Ismail di sini pada 16 Ogos, 2002, didengar.

Akibatnya, Chelliah mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badannya. Beliau memfailkan saman terhadap Monorail Technology dan KL Monorail Systems Sdn Bhd dan Ketua Pengarah Keretapi pada 7 Mac 2003 menuntut gantirugi am, gantirugi khas sebanyak RM5 juta.

Chelliah, 47, yang kini merupakan subeditor di Bernama, hadir di mahkamah. Beliau merupakan saksi pertama yang memberi keterangan.

Disoal peguamnya mengenai apa yang berlaku semasa insiden berkenaan, beliau berkata beliau sedang menyeberang jalan menuju ke Hotel Shangri-La ketika tren monorel itu melalui landasan di kawasan itu.

"Pada ketika itu roda keselamatan tren monorel itu tertanggal dan jatuh mengenai saya. Ia terkena kepala saya menyebabkan saya tidak sedar dan mengalami luka parah di kelapa dan kecederaan di badan," katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau tahu apa yang menyebabkan kemalangan itu, bapa kepada dua orang anak berkata ia adalah disebabkan kecuaian pihak defendan.

Ketika disoal Peguam Kanan Persekutuan Lailawati Ali yang mewakili Ketua Pengarah Keretapi yang bertanyakan mengapa beliau tidak menggunakan jejantas untuk menyeberang jalan, Chelliah berkata pada ketika itu tiada jejantas di Jalan Sulatan Ismail.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Lailawati bahawa beliau cuai. Saksi kedua, forensik kimia Cheong Meow Kioon yang mengendalikan analisis forensik mengenai roda pemanduan dan roda keselamatan semasa di Jabatan Kimia, berkata keenamenam bolt yang direkabentuk untuk mengikat roda keselamatan ke hub bagi membolehkan roda pemanduan mempunyai sokongan berat penuh 13.2 kilogram roda keselamatan.

Pesara itu memberitahu sistem keseleruhan itu tertakluk kepada getaran akibat pergerakan tren monorel dan di dalam keadaan luaran muatan serta getaran, bolt berkenaan yang tidak dipasang dengan betul secara perlahanlahan dan akhirnya tercabut daripada hub menyebabkan roda keselamatan itu tertanggal.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan (Jurutera Awam) di Jabatan Keretapi dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa mengikut perjanjian konsesi, syarikat KLMS adalah bertanggungjawab dalam pembinaan dan mereka bentuk keretapi tersebut.

Mohd Azmi Zakaria berkata semasa di peringkat "ujian percubaan" iaitu peringkat pengujian sebelum pembukaan kepada orang awam dibuat, ia masih lagi di bawah tanggungjawab KLMS kerana ia belum lagi di peringkat pembukaan.

Mohd Azmi, 51, berkata mengikut perjanjian konsesi ada dinyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab atas apaapa liabiliti dan syarikat dikehendaki mempunyai insuran dan mengikut rekod jabatan, syarikat (defendan) ada mengambil perlindungan insuran.

Ditanya peguam T. Tharumajah yang mewakili Monorail Technology dan KLMS, Mohd Azmi bersetuju Jabatan Keretapi tidak menemui kelemahan dalam reka bentuk monorel semasa pemeriksaan di tapak projek.

Mahkamah turut mendengar keterangan daripada bekas wartawan Malay Mail dan News Straits Times yang menulis tentang kemalangan yang menimpa Chelliah iaitu Azman Abdul Ghani dan Jasbir Singh.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar Singh Dhaliwal bermula hari ini dan esok bagi menentukan siapakah yang bertanggungjawab kepada liabiliti dalam kes saman ini. BERNAMA

Artikel Lain