suria

Anak Samy Vellu tidak pernah adakan hubungan seks dengan Sujatha

INKUES... Anak Presiden MIC, Vell Paari ketika menghadiri sesi inkueas pagi tadi.
INKUES... Anak Presiden MIC, Vell Paari ketika menghadiri sesi inkueas pagi tadi.
INKUES... Anak Presiden MIC, Vell Paari ketika menghadiri sesi inkueas pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Bhd memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan setiausaha peribadinya K. Sujatha walaupun mempunyai hubungan yang rapat.

Vell Paari, 46, berkata, kebiasaannya dia akan mengunjungi Sujatha di kondominiumnya di Jalan Ipoh untuk tujuan rasmi dan majlis yang lain tetapi tidak pernah mengunjunginya untuk tujuan kasual.

Bagaimanapun, beliau mengaku bahawa Sujatha telah melawat rumahnya beberapa kali dan kedua-duanya keluar untuk makan malam.

"Sujatha telah menemani saya untuk majlis rasmi dan keluarga," jelas Paari.

Ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya Geethan Ram Vincent yang membantu majistret Mohd Fauzi Che Abu yang bertindak sebagai koroner, Paari berkata, dia telah menemani Sujatha ke India sebanyak dua kali, bagi mendapatkan rawatan perubatan. Beliau juga berkata Sujatha, bapanya dan dua abangnya juga menemani beliau untuk lawatan ke Australia.

Paari, yang juga anak kepada Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, berkata beliau membiayai Sujatha untuk pengajian peringkat diploma dan ijazah dalam perdagangan.

Semalam, Paari juga memberitahu koroner bahawa dia juga membiayai pengajian abang Sujatha di Australia.

Beliau memberi keterangan pada inkues kematian Sujatha, 28, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 25 Jun 2007, empat hari selepas dimasukkan ke wad kerana didakwa meminum racun rumpai.

Ketika disoal oleh Geethan, Paari berkata, beliau membayar RM220,000 tunai untuk unit kondominium di mana Sujatha tinggal dan menjadi penjamin untuk pinjaman bank berjumlah RM200,000.

Paari juga berkata, beliau juga menjadi penjamin untuk pinjaman kereta, Mazda RX8 yang digunakan oleh Sujatha.

"Saya juga menjadi penjamin bagi empat hingga lima staf saya, katanya.

Paari berkata, dia dan anggota keluarganya terkejut bahawa Sujatha telah membunuh diri, memandangkan hanya sekali beliau menceritakan masalah keluarganya pada 1998.

Katanya, beliau tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat atas kematian Sujatha.

Menjawab soalan lain mengenai kenapa dia berbohong dalam kenyataan media sehari selepas kematian Sujatha di mana dia mendakwa bahawa setiausaha peribadinya mati disebabkan ketumbuhan rahim, Paari berkata, ia merupakan permintaan anggota keluarga.

"Dua daripada abangnya meminta saya supaya tidak mendedahkan sebab sebenar kematian, mereka berkata orang awam akan membuat persepsi bahawa Sujatha telah membunuh diri dan tidak mahu namanya rosak dalam apa jua cara," Paari menjelaskan.

Berhubung isu lain, Paari berkata, permintaan supaya post mortem tidak dijalankan ke atas tubuh Sujatha bukan datang daripada dia tetapi dia telah terdengar anggota keluarga Sujatha sedang berbincang mengenainya.

Katanya dia menghadiri pengebumian Sujatha dan upacara pembakaran mayat di Ipoh, pada hari berikutnya selepas kematian Sujatha.

Mengenai gambar foto makan malam perkahwinan yang dijumpai dalam bilik Sujatha, Paari berkata pembantunya meminta gambar yang disimpannya di atas meja di pejabatnya dan ia sempurna semasa diberikan kepada Sujatha.

Geethan mengemukakan gambar foto itu sebagai bahan eksibit kepada mahkamah. Ketika disoal oleh peguam mewakilinya dan keluarga Sujatha Datuk K. Kumaraendran, Paari berkata Sujatha dan isterinya Shaila Nair mempunyai hubungan yang baik dan mereka kerap keluar bersama.

Katanya dengan membiayai pelajaran Sujatha dan abangnya, beliau juga membantu staf di Maika dan Tamil Nesan untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

"Saya membantu menjelaskan bil perubatan dan juga menjelaskan bayaran pendahuluan rumah mereka," katanya.

Katanya, Sujatha juga telah membantu menjaga kepentingan perniagaannya di India dan Australia.

Inques bersambung esok. BERNAMA

Artikel Lain