suria

Bekas Timbalan Naib Canselor Unisel didakwa

[DIKEMAS KINI] KLANG: Bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Dr. Rustam Abbas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan surat penyambungan kontrak perkhidmatan atau pinjaman sebagai Timbalan Naib Canselor Unisel yang palsu, dua tahun lepas.

Rustam, 51, yang dihadapkan ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah sebelum minta dibicarakan.

Pertuduhan menyebut, Rustam didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu surat bertarikh 28 Disember 2006 bertajuk "Penyambungan Kontrak Perkhidmatan/Pinjaman Sebagai Timbalan Naib Canselor, Universiti Industri Selangor" yang beliau mempunyai sebab mempercayai pada masa menggunakan dokumen itu ia adalah palsu.

Rustam yang kini pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Sumber Manusia Unisel, Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 12 Julai 2007.

Rustam ditangkap pada Jumaat lepas, didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan agar Rustam dibebaskan dengan ikat jamin RM7,500.

Peguam M.K. Thas yang mewakili Rustam bagaimanapun berkata jumlah yang dicadangkan terlalu tinggi kerana anak guamnya kini seorang pensyarah dengan pendapatan RM5,000 sebulan.

Beliau berkata walaupun isteri Rustam seorang guru, mereka perlu menyara lima orang anak yang mana empat daripada mereka masih menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Justeru, Thas memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM4,000 dengan memberi jaminan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana sepanjang siasatan beliau telah memberi kerjasama kepada SPRM.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Slamat Yahya memutuskan untuk mengekalkan jaminan sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan kerana berpendapat jumlah itu munasabah.

Beliau turut menetapkan 30 April depan untuk sebutan semula kes.

Rustam yang hadir di mahkamah ditemani isteri dan adiknya membayar ikat jamin itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain