suria

BN bakal hadapi pertarungan sengit di Batang Ai?

KUCHING:Kira-kira seminggu lagi hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka akan menghadapi tentangan besarbesaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengekalkan kerusi majoriti kaum Iban itu.

Selain perang poster dan bendera, faktor yang akan menentukan kemenangan BN termasuk pemilihan calon berikutan pengundi kemungkinan lebih cenderung memihak kepada calon Iban dari parti kaum Dayak, dengan mengambil kira Iban merupakan 95 peratus daripada 8,006 pemilih berdaftar.

Berdasarkan trend pada pilihan raya negeri sebelum ini, majoriti pengundi di kawasan luar bandar seluas 1,341 km persegi yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan, Indonesia ini lebih dipengaruhi "hubungan kekeluargaan" daripada simbol parti dalam mengundi.

Semalam, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRs) Datuk Seri Dr James Masing berkata BN negeri bersetuju mencalonkan Malcolm Mussen Lamoh, 49, jurutera di Jabatan Pertanian negeri, untuk bertanding dalam pilihan raya itu dan sedang menunggu kelulusan pucuk pimpinan BN pusat.

Kerusi Batang Ai kosong berikutan kematian wakil rakyatnya selama empat penggal Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb lepas akibat serangan angin ahmar. Beliau ialah naib presiden PRS dan Menteri Muda Sukan dan Pertanian negeri.

Sungguhpun Masing telah dilantik pengarah operasi BN bagi pilihan raya kecil 7 April itu, seorang pemerhati politik berpendapat jentera BN perlu lebih fokus terhadap strategi kempennya untuk menangkis "serangan" pembangkang terutamanya PKR.

Walaupun masih belum mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil itu, PKR, di bawah pimpinan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua badan perhubungan PKR Sarawak, telah cuba meraih sokongan pengundi dengan memainkan isu hak tanah adat, hak kaum Dayak dan pembangunan sosioekonomi.

Bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN tidak akan lagi meneruskan amalan mengumumkan projek "mee segera" pada pilihan raya, seorang pemerhati politik berkata adalah lebih bermanfaat untuk menganjurkan program kemasyarakatan atau sesi bertemu dengan pengundi secara bersemuka.

Beliau mencadangkan lebih banyak program 'berimpak tinggi' bagi menyelesaikan masalah berkaitan pembangunan dan juga kebajikan penduduk, sepatutnya diadakan di kawasan itu, lebih-lebih lagi kira-kira 107 lokaliti, yang mempunyai 238 rumah panjang dan 15 kampung, seperti Engkari, terletak jauh di pedalaman.

Tidak disangsikan, rancangan kerajaan negeri, yang termasuk memberikan tumpuan kepada pembangunan jalan raya tar sepanjang 10km ke kawasan penempatan Batang Ai dan dua lagi jalan raya dengan kos RM42 juta, amat dialualukan oleh penduduk kerana telah lama tertangguh, katanya.

Pemerhati politik itu berkata juga penting BN meletakkan calon yang diterima penduduk setempat dan perang poster serta pengedaran risalah untuk menjelaskan isu dan dasar kerajaan turut memainkan peranan dalam mencerminkan kedudukan BN negeri, lebih-lebih lagi ia akan menjadi ujian terhadap perpaduan gabungan parti pemerintah itu.

Dalam pilihan raya negeri Mei 2006, apabila Dublin menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti tipis 806 undi, dikatakan kemerosotan majoriti itu akibat undi protes oleh penyokong BN sendiri, yang didakwa tidak puas hati dengan cara jentera BN diuruskan.

Disebalik pelbagai spekulasi mengenai Bawin, presiden penaja Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang masih belum didaftarkan, yang merupakan tokoh berpengaruh di Batang Ai, satu lagi faktor yang dipercayai menjadi puncanya ialah akibat serangan peribadi yang dilemparkan terhadap penyandang, serta krisis dalaman kepimpinan PRS.

Pada kali ini, Bawin, yang kini ialah pengerusi PKR Batang Ai, dan bekas anggota Parlimen Lubok Antu selama lima penggal Jawah Gerang, yang baru-baru ini menyertai PKR, menjadi tumpuan kerana seorang daripada mereka dispekulasi akan dipilih untuk menentang BN. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain