suria

Wanita ditolak jadi guru sandaran kerana mengandung lapor polis

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan tindakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat menarik semula tawaran yang diterimanya sebagai guru sandaran, membuat laporan polis hari ini setelah aduannya kepada beberapa pihak tidak dilayan.

Noorfadilla Ahmad Saikin, 27, dengan ditemani suaminya Mohd Izawan Zakaria, membuat laporan polis terhadap PPD Hulu Langat, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Biro Pengaduan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam, di Ibu Pejabat Daerah Polis Kajang pada 2.30 petang tadi.

Katanya beliau berbuat demikian kerana kecewa dengan tindakan PPD Hulu Langat yang didakwanya menarik semula tawaran tersebut hanya kerana beliau mengandung tiga bulan.

Noorfadilla berkata bahawa pada awal Januari lepas, beliau pergi ke PPD Hulu Langat untuk mengambil surat tawaran bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, dan ketika diberi taklimat, seorang pegawai meminta calon yang mengandung agar tampil ke hadapan.

"Saya dan dua lagi calon lain tampil ke hadapan dan pegawai itu menyatakan bahawa wanita mengandung tidak boleh dilantik sebagai guru sandaran. Saya amat kecewa...salahkah wanita mengandung menjadi guru?," katanya.

Noorfadilla berkata beliau pernah memajukan kesnya itu kepada Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Pejabat Perdana Menteri serta Jabatan Perkhidmatan Awam namun tiada sebarang tindakan diambil. BERNAMA

Artikel Lain