suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Petang elok bergambar, malam jadi medan perang! Pelancong Malaysia kongsi detik cemas final UCL di Perancis

Siti Aisyah dan suami sempat 'melarikan diri' sebaik melihat penyokong mula berkumpul dengan premis mula ditutup awal.

SEORANG pelancong Malaysia berkongsi pengalaman mendebarkan ketika melancong di Paris, Perancis apabila tanpa disangka-sangka terperangkap di tengah-tengah suasana tegang bahang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 31 Mei lalu.

Siti Aisyah Abd Razak menceritakan, dia dan suami, Mohd Fahmie Mat Saad terpaksa menukar jadual lawatan pada saat-saat akhir selepas menyedari pihak berkuasa tempatan sedang membuat persiapan menghadapi kemungkinan rusuhan penyokong bola sepak.

Menurutnya, mereka memulakan hari dengan melawat Eiffel Tower sebelum meneruskan perjalanan ke Louvre Museum pada waktu malam.

Siti Aisyah menyarankan segera mengubah jadual lawatan dari memasuki kawasan berpotensi berlaku rusuhan.

Siti Aisyah menyarankan segera mengubah jadual lawatan dari memasuki kawasan berpotensi berlaku rusuhan.

Bagaimanapun, suasana di sekitar kota fesyen itu mula berubah menjadi tegang bersempena dengan perlawanan akhir UCL yang menemukan pasukan Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG).

"Walaupun perlawanan itu berlangsung di Budapest, Hungary tetapi disebabkan peminat PSG di sini agak ekstrem, tak kisah menang atau kalah selalunya akan ada kekecohan selepas perlawanan.

"Sebab itu kedai-kedai berjenama terkenal sudah mula memasang penghadang keselamatan seawal pukul 6 petang," katanya kepada mStar.

Menyedari situasi tersebut, mereka mengambil keputusan memendekkan lawatan bagi mengelakkan bertembung dengan kumpulan penyokong selepas tamat perlawanan.

Siti Aisyah berkata, kunjungan ke Louvre tetap diteruskan kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat lukisan terkenal Mona Lisa hasil karya Leonardo da Vinci serta menikmati keunikan seni bina muzium berkenaan.

Selepas itu, mereka menuju ke Arc de Triomphe sebelum mendapati polis mula menutup beberapa jalan utama di kawasan tersebut.

"Ketika kami sampai, kawasan itu sudah semakin sunyi kerana polis mula mengawal keadaan. Nasib baik kami sempat bergambar dan menikmati suasana di situ," katanya.

Menurutnya, ketika perlawanan memasuki penentuan sepakan penalti, mereka sudah berada dalam tren menuju ke hotel.

"Sebaik tiba di kawasan hotel, kemenangan PSG disambut meriah oleh penyokong tempatan dengan bunga api dan suar memenuhi ruang udara," katanya.

Lebih 200 penyokong ditahan dalam rusuhan di Paris ketika aksi perlawanan akhir membabtkan pasukan Paris Saint-Germain. -Foto AFP

Lebih 200 penyokong ditahan dalam rusuhan di Paris ketika aksi perlawanan akhir membabitkan pasukan Paris Saint-Germain. -Foto AFP

Tambahnya, suasana kegembiraan itu bagaimanapun bertukar menjadi huru-hara apabila lokasi yang mereka kunjungi beberapa jam sebelum itu dilaporkan telah menjadi medan rusuhan dan pertempuran sengit antara penyokong dengan pihak polis.

"Petang tu kami bergambar elok di Arc de Triomphe, malamnya masuk berita ada rusuhan dan pergaduhan dengan polis di kawasan yang sama.

"Nasib baik masa itu kami sudah selamat berada dalam bilik hotel," katanya yang turut berkongsi tip kepada pelancong lain.

Tip elak terperangkap dalam rusuhan ketika melancong 

1. Semak jadual perlawanan besar lebih awal

- Ketahui tarikh dan lokasi perlawanan melibatkan pasukan popular sebelum merancang lawatan.

2. Elak kawasan tumpuan penyokong

- Jauhi stadium, dataran utama, pub sukan dan lokasi sambutan kemenangan beberapa jam sebelum dan selepas perlawanan.

3. Peka dengan tanda amaran awal

- Jika kedai mula menutup premis, memasang penghadang keselamatan atau polis mula berkawal dalam jumlah besar, itu petanda sesuatu mungkin berlaku.

4. Pendekkan lawatan jika perlu

- Jangan terlalu berkeras mahu menghabiskan jadual pelancongan jika suasana mula kelihatan tegang.

5. Rancang laluan pulang ke hotel

- Pastikan anda tahu pilihan pengangkutan awam atau laluan alternatif sekiranya jalan utama ditutup.

6. Jangan sertai himpunan penyokong

- Walaupun sekadar mahu merakam video atau mengambil gambar, keadaan boleh berubah menjadi huru-hara dalam masa beberapa minit.

7. Ikut arahan polis dan pihak berkuasa

- Jika diminta beredar atau mengelak kawasan tertentu, lakukan segera tanpa banyak soal.

8. Pantau berita dan media sosial tempatan

- Maklumat terkini mengenai penutupan jalan, rusuhan atau perhimpunan penyokong biasanya tersebar lebih awal.

9. Simpan dokumen penting dengan selamat

- Pasport, wang tunai dan telefon bimbit sebaiknya sentiasa berada bersama anda sekiranya perlu meninggalkan kawasan dengan cepat.

10. Utamakan keselamatan berbanding kandungan media sosial

- Tiada gambar atau video yang berbaloi jika keselamatan diri terancam.

Artikel Lain