suria

Ahli perniagaan gagal hadir kes pecah amanah

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan terkemuka yang bergelar "Tan Sri", gagal hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk kali kedua bagi menghadapi pertuduhan kes pecah amanah jenayah (CBT).

Peguam Datuk K. Kumaraendran berkata, anak guamnya itu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pagi semalam selepas mengadu sakit dada.

Ahli perniagaan berkenaan, yang berusia lewat 60an, juga gagal hadir di mahkamah pada 26 Dis tahun lepas setelah dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

Lelaki berkenaan, yang dipercayai pengerusi sebuah syarikat yang disenaraikan, sepatutnya dihadapkan di mahkamah di sini atas pertuduhan CBT membabitkan saham yang diamanahkan kepadanya, dipercayai bernilai berjuta-juta ringgit.

Timbalan Pendakwa Raya S. Devanandan memberitahu pemberita pihak pendakwaan tidak dapat mendaftarkan kes itu disebabkan ketidakhadiran "Tan Sri" berkenaan.

Difahamkan pegawai penyiasat kes menghubungi peguam ahli perniagaan itu bagi memastikan kehadirannya di mahkamah meskipun waran tangkap telah pun dikeluarkan terhadapnya.

Devanandan berkata, peguam memberi jaminan akan menghubungi pihak pendakwaan sebaik sahaja ahli perniagaan itu dibenarkan keluar dari hospital. BERNAMA

Artikel Lain