suria

PKR yakin pertahan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin dapat mengekalkan penguasaan mereka dalam pilihan raya kecil Dewan undangan Negeri (DUN), kawasan Behrang dan Changkat Jering yang dikosongkan hari ini ini.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata beliau yakin PKR dapat meneruskan penguasaan mereka kerana kedua-dua kerusi berkenaan sememangnya milik mereka.

"Saya tak gusar dan sangat yakin kami akan memenangi juga kerusi berkenaan.

"Sebelum ini ia milik BN (Barisan Nasional), tapi pada pilihan raya umum lalu kami telah berjaya merampasnya...ia memang milik kami," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian berdasarkan perkembangan terbaru di Perak apabila dua ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu meletak jawatan berkuat-kuasa hari ini.

Kedua-dua mereka dilaporkan hilang sejak lima hari lalu kerana gagal dijejaki oleh anggota keluarga masing-masing.

Jamaluddin, 52, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pad 25 Ogos lalu kerana dikatakan menerima rasuah bagi mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Kes mereka akan didengar pada 10 Februari ini.

Sementara itu Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata beliau hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan kedua-dua ADUN tersebut sebentar tadi dan masih belum menerima laporan lanjut mengenainya.

"Saya tak fikir akan ada lagi (ADUN yang akan keluar parti).

"Kami akan adakan mesyuarat esok, dan maklumat lanjut hanya akan diketahui selepas itu," katanya.

Tambah beliau keputusan bagi menentukan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu akan ditentukan kemudian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain