suria

Pengusaha ladang kelapa sawit ditemui mati dibunuh

PARIT BUNTAR: Seorang pengusaha ladang kelapa sawit ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan kecederaan parah di kepala di rumahnya di Kampung Sungai Rawa, Sungai Lima di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Fauzi Nayan berkata berdasarkan maklumat orang awam yang diterima pada 10 pagi, polis yang berkejar ke tempat kejadian menemui S.Gunaseelan, 60, terbaring atas kerusi di ruang tamu rumah dengan kesan lehernya dikelar dan kepalanya hampir pecah akibat dipukul dengan objek berat.

Kejadian itu dipercayai baru berlaku berdasarkan kesan darah di kepala mangsa masih basah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Fauzi berkata, berikutan kejadian itu polis menahan seorang wanita berusia 36 yang merupakan pembantu rumah mangsa dan seorang lelaki berusia 41 tahun pada 4 petang hari yang sama di Bagan Serai untuk membantu siasatan.

Kedua-dua mereka ditahan reman tujuh hari bermula hari ini, katanya.

Beliau berkata ketika kejadian, isteri dan anak mangsa berada di Kedah.

Fauzi berkata tiada sebarang objek ditemui di tempat kejadian tetapi polis menemui sepucuk senapang milik mangsa yang ditemui dibuang dalam sungai berhampiran.

Katanya kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain