suria

Polis Selangor rampas ketamin RM3.5 juta

SHAH ALAM: Polis merampas 119.3 kg ketamin bernilai kira-kira RM3.5 juta dan menahan lima lelaki termasuk dua rakyat India dalam operasi di Teluk Pulai, Klang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kelima-lima lelaki berusia antara 44 dan 50 tahun itu dipercayai anggota sindiket penyeludupan ketamin yang beroperasi sejak Disember lepas.

Polis percaya sindiket ini turut melibatkan penyeludup ketamin dari India dan rangkaian antarabangsa yang menggunakan jalan laut, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata hasil risikan, polis menahan sebuah van yang dinaiki tiga lelaki tempatan berhampiran sebuah stesen minyak di Teluk Pulai pada pukul 6.30 petang.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 100 kg ketamin di dalam kenderaan itu, katanya.

Beliau berkata berikutan tangkapan itu, polis membuat tindakan susulan dan menahan dua lelaki rakyat India di sebuah premis di Wisma Desa Simpang Empat Teluk Pulai serta merampas 19.3 kg ketamin.

Khalid berkata polis percaya kumpulan itu menggunakan Pelabuhan Klang sebagai jalan masuk.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati, dadah itu dibawa masuk dalam bungkusan plastik yang dilabel sebagai garam dan diletakkan bersama bungkusan garam tulen. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain