suria

Pengawal keselamatan maut ditikam perompak

KUALA LUMPUR:Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditikam di bahagian leher dan dada oleh perompak yang menyamun kaunter tunai sebuah pasar raya di Sri Kembangan, awal hari ini.

V.Karupaya, 62, ditemui oleh anak lelakinya yang datang untuk menjemput mangsa selepas selesai waktu kerja di dalam bilik pengawal pasar raya itu kirakira pukul 4 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Abdul Aziz Abdul Majid berkata siasatan awal mendapati sebaik menetak mangsa, perompak terbabit masuk ke dalam pasar raya itu melalui pintu pekerja.

"Empat kaunter tunai dipecahkan, bagaimanapun kita belum dapat tentukan jumlah kerugian yang dialami," katanya ketika dihubungi di sini.

Abd Aziz berkata polis menemui beberapa kesan bukti di tempat kejadian dan akan membuat siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang.

Katanya kes itu diklasifikasikan sebagai samun bunuh.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas mengumpil sebuah kereta awal di Bandar Sri Permaisuri pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata polis terpaksa melepaskan dua das tembakan apabila suspek berumur 27 tahun itu cuba melanggar kedua-dua anggota polis yang mengejarnya pada kirakira pukul 12.30 malam.

Lelaki yang tiada pekerjaan tetap itu cuba melarikan diri dengan sebuah kereta selepas perbuatannya itu dikesan oleh dua anggota polis yang membuat rondaan di kawasan itu.

"Demi mempertahankan diri anggota terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mengenai tayar depan dan belakang kereta yang dinaiki suspek," katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Hashim berkata hasil siasatan polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes ragut di Bandar Tasik Selatan.

Ketika ditahan suspek mengaku kereta itu dibeli dengan harga RM200 dan polis akan menyiasat dari mana kereta itu diperolehnya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain