suria

Arab Saudi sumbang US$1 bilion untuk Gaza

KUWAIT CITY: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz pada Isnin berkenan menyumbangkan derma sebanyak US$1 bilion untuk pembinaan semula Genting Gaza yang musnah selepas tiga minggu diserang Israel.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Arab, Raja Saudi itu berkata tidak kira betapa pentingnya isu ekonomi, ia tidak boleh disamakan dengan nyawa dan maruah.

"Dalam tempoh beberapa hari lepas, kita menyaksikan imej yang amat menjijikkan, berdarah dan menyakitkan, pembunuhan dilakukan secara terang-terangan di hadapan mata dunia oleh penjenayah kejam yang tidak berhati perut dan tanpa belas kasihan," katanya.

Ketika menyerahkan sumbangan kepada tabung pembangunan semula Gaza yang dicadangkan sidang kemuncak itu, Raja Abdullah berkata beliau sedar bahawa "setitik darah rakyat Palestin lebih bernilai daripada semua kekayaan di dunia ini".

Terdahulu, Amir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah, yang mempengerusikan sidang kemuncak dua hari itu, mengetuai kutukan bertalu-talu pemimpin Arab yang membantah kekejaman Israel di Gaza.

Beliau berkata, Kuwait akan memberikan sumbangan sebanyak US$34 juta kepada Agensi Pekerjaan dan Bantuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Near East (UNRWA) sebagai memenuhi keperluan segera rakyat Palestin, dan akan turut memberikan sumbangan kepada usaha antarabangsa negaranegara yang menghulurkan bantuan.

Beliau menggambarkan serangan Israel sebagai "satu jenayah perang dan perang terhadap kemanusiaan".

Lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh dan 5,300 lagi cedera manakala kirakira 4,000 bangunan kediaman musnah sejak Israel melancarkan serangan pada 27 Dis.

Pada Ahad, Israel mengisytiharkan gencatan senjata yang kemudiannya diikuti oleh Hamas, yang memberikan rejim itu seminggu untuk mengeluarkan tenteranya dari Gaza.

Bercakap selepas pemimpin Kuwait, Presiden Syria Bashar Al-Assad menyeru negara-negara Arab menggunakan istilah 'entiti terrorism" bagi menggambarkan negara Yahudi. Al-Assad berkata, walaupun gencatan senjata itu dijamin, tiada tanda-tanda keganasan akan berakhir memandangkan tentera Israel masih berada di Gaza.

Presiden Mesir, Hosni Mubarak berkata, negara itu menunjukkan sokongan yang kuat dan jelas kepada Genting Gaza sejak hari pertama pencerobohan Israel itu.

Sambil menyatakan Israel perlu sedar bahawa mencapai keamanan di Timur Tengah adalah satu keperluan utama yang tidak boleh ditangguh, beliau berkata rejim itu perlu mengambil kira dengan lebih serius inisiatif Arab untuk keamanan.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas meminta rakyat Palestin yang berpuak-puak melupakan perbezaan mereka dan mengadakan pertemuan.

Beliau berkata, rakyat Palestin dijemput untuk mengadakan pertemuan di Mesir untuk berbincang "bagi mencapai persetujuan selepas perbincangan.

"Jika kejadian berdarah di Gaza masih tidak cukup untuk kita bersetuju antara satu sama lain, jadi bila lagi masa itu akan sampai?" kata Abbas.

Beliau berkata, jika persetujuan dicapai, apa yang diperlukan selepas itu ialah kerajaan yang bersatu dan berusaha untuk menamatkan keganasan Israel, berundur dari Gaza dan membuka sempadannya serta mengadakan pilihan raya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain