suria

Azilah nafi ada di tempat Altantuya dibunuh

SHAH ALAM: Cif Inspektor Azilah Hadri, tertuduh pertama dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini dia tidak berada di Puncak Alam di sini pada malam 19 Okt 2006 untuk menembak dan meletupkan wanita Mongolia itu.

Dalam keterangan hari ketiga pembelaannya, pegawai dari Unit Tindakan Khas itu berkata bahawa pada malam kejadian pembunuhan Altantuya, dia berada dengan tunangnya di Wangsa Maju untuk makan bersamasama, dan selepas itu balik ke ibu pejabat di Bukit Aman.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bahawa dia bersama tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar, dan Altantuya telah pergi ke Puncak Alam, dan antara 10.43 malam dan 11.28 malam, telah menembak dan meletupkan wanita itu. Azilah menjawab: "Saya tidak setuju."

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya, manakala penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang pada mula dituduh bersubahat dengan mereka, telah dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama 31 Okt tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Dalam sesi soal jawab hari ini, Azilah berkata dia telah berjumpa tunangnya pada 10.30 malam dan mereka berdua pergi ke sebuah kedai mamak di Wangsa Maju dan berada di sana selama 45 minit sebelum pulang ke Bukit Aman.

Azilah juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya bahawa dia dan Sirul Azhar telah membawa Altantuya pergi ke Puncak Alam melalui lebuh raya NKVE dan keluar melalui Plaza Tol Damansara pada 9.57 malam.

Azilah, dalam keterangannya sebelum ini, memberitahu mahkamah dia diarah oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri, membantu Abdul Razak yang menghadapi masalah diugut Altantuya dan seorang lelaki Cina.

Tun Majid: "Saya katakan pada kamu masalah Abdul Razak telah selesai pada malam itu setelah kamu dan Sirul menembak dan meletupkan Altantuya di Puncak Alam?"

Azilah: "Tak setuju".

Katanya pada hari kejadian pembunuhan, dia tidak mempunyai senjata api bersamanya kerana ia telahpun diserahkan lebih awal pada hari yang sama kepada seorang pegawai bernama Sub Inspektor Megat Rosli.

"Saya tidak ingat pukul berapa, tapi lepas taklimat penugasan ke Hong Kong, saya serah senjata pada Megat Rosli," kata Azilah. Tun Majid: "Saya katakan senjata kamu memang berada bersama kamu kerana kamu sedang bertugas pada 18 dan 19 Okt 2006."

Azilah: "Tak setuju."

Terdahulu Azilah memberitahu mahkamah dia juga tidak membawa senjata api ketika melakukan rondaan di kawasan rumah Abdul Razak dan sewaktu mencari Altantuya di Hotel Malaya pada petang 18 Okt 2006.

Tun Majid: "Pada 18 Okt, 2006, ketika kamu ke pejabat Razak, ke rumah Razak, pergi ke Pasar Seni dan ke Hotel Malaya, kamu masih bersenjata api?"

Azilah: "Senjata api ada pada saya masa saya pergi ke pejabat Encik Razak dan masa saya pergi rumah Encik Razak lepas tu. Bila saya balik pejabat di Bukit Aman, saya tinggalkan senjata dalam kabinet."

Tun Majid: "Kenapa tak bawa, kenapa tinggalkan?"

Azilah: "Saya tinggalkan, buat kacau dekat pinggang, buat apa. Saya tak tahan lama senjata letak di pinggang."

Azilah juga menafikan dia menghubungi Abdul Razak melalui untuk memberitahu 'malam ini encik boleh tidur lena.'

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain