suria

Guru SABK diserap masuk dalam perkhidmatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Guru yang bertugas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) telah diperuntukkan jawatan secara hakiki sekaligus diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sekolah yang berdaftar sebagai SABK pula berpeluang menerima guru Kementerian Pelajaran yang terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi.

"Guru-guru ini juga akan diberi gaji yang bersesuaian dengan kelayakan mereka, diberi peluang kenaikan pangkat, berpeluang menikmati segala kemudahan sebagai penjawat awam, serta berpeluang untuk mengikuti kursus di dalam dan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata tumpuan kepada soal perjawatan dan latihan guru itu merupakan sebahagian langkah bagi merealisasikan program pendaftaran SABK yang diperkenalkan pada 2005 untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di bawah Kementerian Pelajaran dari pelbagai aspek termasuk proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Katanya murid di SABK pula berpeluang mendapat pelbagai bantuan seperti biasiswa, makanan serta buku teks selain bersaing dengan murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti Kementerian Pelajaran sama ada yang berbentuk kurikulum atau kokurikulum, dan jika berkelayakan, akan diberi peluang mewakili negara di peringkat antarabangsa.

"Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat pendidikan berteraskan Islam terus dimantapkan dan diperkasa di negara ini, kementerian akan terus berusaha gigih bagi memastikan SABK dapat berkembang menjadi institusi sekolah yang cemerlang dan mampu memberi pendidikan agama yang sempurna kepada generasi muda negara," katanya.

Hishammuddin berkata sehingga hari ini, jumlah SAR dan SAN yang berdaftar sebagai SABK ialah sebanyak 154 buah manakala 101 sekolah agama lagi masih di peringkat perbincangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman.

Beliau berkata pada 23 Dis lepas, Kementerian Pelajaran telah dimaklumkan mengenai hasrat Jabatan Agama Islam Johor untuk mendaftar sejumlah 27 sekolah agama sebagai SABK iaitu 15 SAR, 3 SAN, satu Maahad Johor dan lapan Sekolah Rendah Arab Bersepadu.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran juga akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan SABK menerima manfaat penuh dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM200 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk memantapkan Sekolah Bantuan Kerajaan daripada peruntukan keseluruhan pakej ransangan ekonomi berjumlah RM7 bilion yang diumumkan pada 4 Nov lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain