suria

6 lelaki ditahan bantu siasatan kematian peniaga

JOHOR BAHARU: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang Ahli Majlis Bandaraya Johor Baharu, bagi membantu siasatan kematian seorang ahli perniagaan dalam pergaduhan di sebuah rumah di Taman Tampoi Utama, di sini, malam semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Supt. Mohd. Akhir Ishak berkata, seorang daripada suspek ditahan pihaknya manakala lima lagi rakannya termasuk ahli politik berkenaan menyerah diri bagi membantu siasatan kes itu pukul 6 pagi ini.

"Dipercayai berlaku pertengkaran antara enam lelaki berkenaan dengan mangsa, Wong Siong Kuong, 57, di rumah mangsa, kira-kira pukul 11.30 malam, yang melibatkan urusan perniagaan.

"Seorang daripada enam lelaki itu dikatakan menumbuk Wong, manakala beberapa rakannya menolak dan menendang Wong sehingga terlanggar rak kasut lalu tidak sedarkan diri," kata Mohd. Akhir ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, isteri Wong yang tiba di rumah selepas keluar makan malam bersama anak mereka di Taman Bukit Indah, di sini terus membawanya ke Hospital Sultanah Aminah, namun Wong disahkan meninggalkan dunia kira-kira pukul 1 pagi.

Beliau berkata, polis sehingga kini masih menunggu hasil bedah siasat ke atas Wong bagi mengenal pasti punca kematiannya, bagaimanapun, percaya motif kejadian melibatkan perselisihan perniagaan.

Katanya, kesemua lelaki berumur 22 hingga 40 tahun itu kini direman sehingga Sabtu depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain