suria

Ezam: Saya tidak kejut tindakan Manika, mungkin ramai keluar

PETALING JAYA: Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor tidak terkejut dengan pendirian Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam untuk keluar parti itu sebelum Rabu ini.

"Saya kenal rapat Manikavasagam, beliau seorang pemimpin yang tulen, berjuang untuk rakyat," kata Ezam ketika dihubungi hari ini.

Sambil mengakui bahawa kedua-duanya saling berhubung dari semasa ke semasa sebagai rakan lama, Ezam berkata, beliau yakin Manikavasagam mempunyai alasan yang kukuh untuk mengambil pendirian keluar PKR.

Manikavasagam merupakan timbalan setiausaha ketika Ezam mengetuai Angkatan Muda Keadilan.

"Beliau sudah lama marah dengan perkembangan yang berlaku (dalam Pakatan), ia sudah lama berlarutan," kata beliau sambil mengakui bahawa sumber peruntukan untuk wakil rakyat - salah satu isu - menjadi antara punca baginya mahu berundur.

Malah, Ezam yang menyertai Umno Jun lalu berkata, beliau menjangkakan akan ada lebih ramai pemimpin PKR yang bakal keluar parti tersebut.

Bagaimanapun tegas Ezam, beliau tidak pernah dan tidak akan mempengaruhi mana-mana pemimpin PKR untuk keluar parti itu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak terbabit untuk membuat pendirian atas keyakinan dan kepercayaan masing-masing.

"Saya tidak percaya pada faktor tarik orang," katanya.

Tambah Ezam, nasib yang dihadapi Manikavasagam menunjukkan pemimpin-pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat tidak mendapat tempat yang sewajarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain