suria

Mahathir: Pemimpin harus berani ambil risiko

PUTRAJAYA: Seorang pemimpin harus berani mengambil risiko dan menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian dengan cabaran yang dihadapi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin yang berwibawa dan bijak seharusnya berada di hadapan bagi mengepalai orang-orang bawahannya, bukan hanya sekadar memberikan perintah dari belakang tabir.

Menurut beliau, seorang pemimpin bukan sahaja perlu menentukan keputusan yang rasional tetapi juga harus mengambil kira pandangan dan perasaan komuniti pimpinannya tanpa mengenepikan kehendak dan suara majoriti.

"Tetapi apa yang berlaku, banyak orang sebelum mendapat kuasa mereka adalah pemimpin yang baik tapi apabila berkuasa, (mereka) berubah.

"Sesetengah orang ini fikir mereka boleh melakukan apa sahaja apabila sudah memperolehi kuasa," katanya dalam ucaptama pada forum 'Hubungan dan Persefahaman Kepimpinan dan Antara Budaya" anjuran Universiti Multimedia (MMU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, pemimpin seumpama itu lazimnya hanya berminat dengan kepentingan peribadi dan tidak pernah memperdulikan wawasan yang harus dicapai.

"Adalah sangat penting untuk para pemimpin peka akan keadaan sekeliling mereka pada setiap masa. Jika tidak, mereka hanya akan memimpin tanpa arah, tidak berguna," katanya.

Memberikan jeneral perang sebagai contoh, Dr. Mahathir yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun berkata, mereka perlu berada di barisan paling hadapan, walaupun itu bermakna mereka mungkin akan terkorban.

"Bila kita berada di hadapan, kita berdepan dengan segala bahaya dan mungkin akan terkorban lebih awal tetapi itu cabaran dan risiko yang perlu kita hadapi dengan berani.

"Mereka yang memimpin hanya dari belakang tabir, apabila dia tidak merasakan sebarang bahaya, mereka tidak peka dan mengambil lewa nasib orang bawahan mereka. Dengan cara ini, mereka akan terdorong untuk mengambil keputusan yang tidak waras dan rasional," katanya.

Tegas beliau, pemimpin yang hanya memerintah dari belakang tabir tidak selayaknya digelar pemimpin tetapi hanya layak dipanggil 'pengikut'.

"Hanya dengan berada di barisan paling hadapan, seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang berwibawa. Mereka mungkin akan memerlukan sokongan rakyat di belakang mereka, tetapi ia akan menjadikan mereka berani membuat keputusan dan bijak berfikir.

"Sekiranya pemerintahan mereka gagal, maka mereka harus berani mengambil pendirian yang wajar dan tepat seperti berundur atau sebagainya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain