suria

Cuti gantian "Golden Handshake" sektor awam 150 hari

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Had maksimum cuti "Golden Handshake" yang boleh dikumpulkan oleh kakitangan awam mulai tahun depan ditambah 30 hari menjadi 150 hari.

Had semasa ialah 120 hari. Ia dikuatkuasakan mulai 1 Januari.

Perkembangan tersebut diumumkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman di Putrajaya hari ini.

Bernama yang memetik Omar berkata, pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam pada perjumpaan dengan Cuepacs pagi ini.

"Kami anggap ia satu keputusan yang baik walaupun dalam masa yang sama kerajaan menetapkan mulai Januari 2009, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru akan dikurangkan lima hari," katanya.

"Golden Handshake" merupakan cuti tahunan yang dikumpulkan bagi digantikan dengan wang apabila seseorang kakitangan awam itu bersara dan ketika ini kakitangan awam boleh mengumpulkan maksimum 15 hari cuti tahunan mereka dalam setahun untuk dimasukkan dalam skim itu.

Mengenai keputusan kerajaan untuk mengurangkan cuti tahunan bagi kakitangan awam yang baru daripada 30 hari kepada 25 hari mulai tahun depan, Omar berkata, selepas perjumpaan dengan Ismail hari ini, Cuepacs menerima rasional langkah itu sebagai cara bagi meningkatkan produktiviti sektor awam, sejajar dengan peranan sektor awam sebagai nadi utama pembangunan negara.

Tambahan pula, katanya, terdapat banyak cuti umum sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri yang dinikmati sepanjang tahun.

Omar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahliahli gabungan bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zain ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya menyambut baik keputusan tersebut memandangkan kerajaan mempunyai rasional dalam melaksanakan langkah berkenaan.

Katanya, kajian Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan ramai kakitangan kerajaan tidak menghabiskan cuti masing-masing.

"Tambahan, di sebalik keputusan ini (mengurangkan cuti lima hari), kerajaan akan membayar baki cuti 20 hari bagi kakitangan yang bakal bersama dalam bentuk duit," katanya.

Artikel Lain