suria

AUKU: Pakatan minta perubahan pada pindaan

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan perubahan dibuat membabitkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 2008 kerana ia didakwa memusatkan kuasa di pihak menteri dan pelaksanaan selektif.

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) memfailkan notis tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 57(2) Jumaat lalu dan dijangka dibahaskan pada peringkat jawatankuasa hari ini.

Beliau berkata, terdapat tujuh fasal yang dicadangkan oleh pihaknya untuk dipinda.

"Pertama adalah pindaan Seksyen 2, Fasal 2 berhubung maksud perkataan pelajar yang begitu luas yang turut merangkumi pelajar separuh masa, koresponden dan pasca siswazah.

"Contohnya, jika anda berumur 65 tahun dan mempunyai cucu pun, anda juga tertakluk di bawah akta ini.

"Justeru, kami mencadangkan ia dipinda dengan menggantikan perkataan 'peringkat persediaan, praijazah' dengan perkataan 'peringkat persediaan dan praijazah, tanpa melingkungi pelajar'," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Selain itu, pelantikan Naib Canselor dalam Pindaan Seksyen baru 4A, Fasal 3 juga tidak cukup meluas apabila Menteri masih mempunyai kuasa untuk melantik Naib Canselor.

"Hal ini tidak memastikan perubahan kepada institusi untuk mengadakan Naib Canselor yang lebih baik kepada universiti tempatan.

"Pemilihan itu sepatutnya dilakukan oleh Jawatankuasa Khas di bawah Lembaga Pengarah Universiti masing-masing," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan pindaan dengan menggantikan perkataan 'Menteri' dengan 'Lembaga Pengarah Universiti'.

Selain itu katanya, pindaan juga harus dilakukan kepada Seksyen 15, Fasal 8 yang menyatakan pelajar bukan hanya tidak boleh menyertai parti politik, pertubuhan haram dan mana-mana pertubuhan yang dirasakan tidak sesuai oleh Menteri, malah turut tidak boleh menyatakan rasa simpati kepada mana-mana pertubuhan tersebut.

"Sementara itu, pindaan juga perlu bagi Seksyen 15 (6)(a) yang tidak membenarkan pelajar memberi komen berhubung sesuatu perkara yang tidak berkaitan dengan pengajiannya.

"Ini bermakna, jika anda dalam aliran matematik, anda tidak boleh memberi komen mengenai falsafah Inggeris.

"Justeru, ia perlu diubah kepada pelajar dibenarkan membuat penyataan mengenai sesuatu perkara akademik," katanya.

Sementara itu, bagi Seksyen 15D, Pua turut mencadangkan pindaan daripada pelajar yang 'dituduh' kepada yang 'disabitkan' sekiranya seseorang pelajar itu terlibat dalam kes jenayah.

"Jika telah terbukti bersalah, maka terpulang kepada universiti untuk mengambil tindakan terhadap pelajar itu," katanya.

Selain itu, Pua turut mencadangkan pemotongan Seksyen 16A, Fasal 14 manakala "Akta ibu" tidak dipinda, selain cadangan pindaan turut dilakukan kepada beberapa jadual dalam Akta ibu, Fasal 26.

Artikel Berikut

Artikel Lain