suria

Usah spekulasi perubahan waktu berita Mandarin

KUALA TERENGGANU: Semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perubahan siaran berita Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, selaras dengan penstrukturan semula saluran RTM kini, penjadualan program untuk saluran RTM 1 dan RTM 2 masih lagi berjalan.

Menurut beliau, penjadualan itu bukan merupakan satu perkara yang mudah dilaksanakan di mana pelbagai cadangan dan kajian masih lagi dijalankan bagi memastikan penjadualan yang terbaik akan dapat dihasilkan.

"Oleh sebab itu saya berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan dapat bersabar sehingga pengumuman rasmi dibuat tidak lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak telah membuat kenyataan terhadap perubahan program RTM termasuk mengenai siaran berita Mandrin.

Shabery menjelaskan apa yang beliau nyatakan di Dewan Negara Rabu lepas ialah berita Mandrin yang disiarkan pada pukul 8 malam akan dipindahkan dari RTM 2 ke RTM 1, sesuai dengan penstrukturan semula siaran RTM.

Menurutnya, mengikut penstrukturan itu, RTM 1 akan menjadi saluran berita dan informasi, manakala RTM 2 akan menyiarkan pelbagai program hiburan lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain