suria

Thaksin: Thai makin hampiri krisis ekonomi besar

PENUNJUK perasaan mendengar siaran rakaman ucapan Thaksin Shinawarta di sebuah stadium di Bangkok semalam. - AP
PENUNJUK perasaan mendengar siaran rakaman ucapan Thaksin Shinawarta di sebuah stadium di Bangkok semalam. - AP
PENUNJUK perasaan mendengar siaran rakaman ucapan Thaksin Shinawarta di sebuah stadium di Bangkok semalam. - AP

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang kini hidup dalam buangan berkata, negara itu semakin hampir kepada krisis ekonomi besar - yang sama seperti kegawatan ekonomi 1997 apabila elemen antidemokrasi menggunakan rampasan kuasa secara perundangan untuk melemahkan kerajaan yang dipilih.

Dalam satu ucapannya yang dirakamkan, beliau memberitahu kumpulan 50,000 orang yang berpakaian merah di Stadium Supachalasai di sini malam ini bahawa kesan penutupan lapangan terbang oleh kumpulan antikerajaan barubaru ini dan krisis politik yang berterusan akan menjejaskan ekonomi, terutama sektor pelancongan dan automotif.

"Saya bimbang ramai lepasan universiti akan menganggur jika krisis ini berterusan.

"Kita perlu ketepikan perbezaan kita dan bekerja untuk negara dan menuju ke arah sistem demokrasi," katanya pada program "Truth Today" anjuran United Front of Democracy Against Dictatorship (UDAD).

Bagaimanapun, rancangan ucapan secara langsung menerusi telefon tidak menjadi kenyataan.

Ucapan Thaksin hadir pada ketika penyokongnya hilang kawalan terhadap pentadbiran negara itu berikutan demontrasi jalanan selama 192 hari oleh People's Alliance for Democracy (PAD), yang menyaksikan dua perdana menteri kehilangan jawatan mereka, dua lapangan terbang ditutup selama lapan hari dan Pejabat Perdana Menteri dikepung selama tiga bulan.

Thaksin, yang digulingkan tentera pada 19 September 2006, telah meninggalkan negara itu pada Ogos sebelum Mahkamah Agung menjatuhi hukuman penjara dua tahun kerana kes salah guna kuasa tetapi pengaruhnya masih kuat di negara itu.

Para penyokongnya dalam parti Puea Thai yang baru dibentuk, bagi menggantikan People's Power Party (PPP), kini terlibat dalam pertandingan sengit dengan satu-satunya pembangkang, Demokrat untuk memperoleh sokongan yang mencukupi daripada anggota Parlimen sebelum Parlimen bersidang Isnin ini bagi memilih perdana menteri baru.

Pemimpin Demokrat, Abhisit Vejjajiva, 44, telah berkata, partinya kini mendapat 260 sokongan daripada 438 anggota Parlimen bagi memilih beliau sebagai Perdana Menteri Thailand ke-27, dan kelima dalam masa kurang tiga tahun.

Perdana Menteri baru itu akan menggantikan adik ipar Thaksin Somchai Wongsawat yang digantung selama lima tahun oleh mahkamah selepas PPP dibubarkan kerana kes penipuan pilihan raya.

Thaksin berkata, semua orang mesti menghormati sistem demokrasi negara itu dan tidak menggunakan sistem perundangan untuk menggagalkannya.

"Kita mahu melihat demokrasi sebenar, menghormati pandangan majoriti dan mendengar pandangan minoriti.

"Tetapi rampasan kuasa pada 19 Sept telah memusnahkan demokrasi... walaupun rakyat telah memilih PPP, mereka masih menggunakan mahkamah untuk membubarkan PPP," katanya.

Thaksin turut menyelar bekas rakan sekutunya yang kini menyokong Demokrat bagi membentuk kerajaan baru.

"Beberapa ahli politik telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat. Jika mereka orang yang baik, mereka tidak akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat," katanya merujuk kepada Newin Chidchob, yang pernah menjadi orang kepercayaannya tetapi kini secara terbuka menyokong Abhisit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain