suria

Wajibkan sumpah mubahalah hapus rasuah

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan supaya diwujudkan sumpah mubahalah untuk diikrar oleh kakitangan kerajaan bagi mengelakkan golongan itu terjebak dengan rasuah.

Beliau berkata, sumpah sedemikian perlu diwujudkan selain sumpah menyimpan rahsia seperti yang sedang diamalkan pada masa ini.

"Saya nak cadangkan jenis sumpah kakitangan kerajaan yang nak jadi Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha dan Menteri-menteri, bukan hanya (mengangkat) sumpah rahsia tapi kalau boleh diwujudkan satu sumpah 'waallahi, wabillahi, watallahi'.

"Bila saya jadi Ketua Pengarah, ahli Parlimen, Menteri atau Perdana Menteri, jika saya rasuah, saya akan dilaknat Allah s.w.t.

"Begitu juga dengan bukan Islam, ada sumpahnya," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2008, di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa tindakan bersepadu antara Badan Pencegah Rasuah (BPR), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kita jangan hanya tunggu orang buat laporan, adakan insentif untuk orang bekerjasama. Saya cadangkan penubuhan jawatankuasa ini dan mereka mesti bergerak.

"Kita nak tahu pegawai-pegawai yang ada duit banyak dan rumah besar dengan menggunakan elaun yang ada. Ini boleh disiasat sama ada mereka daripada kerajaan atau pembangkang...jangan tunggu orang lapor," katanya.

Ibrahim turut mencadangkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kes-kes berprofil tinggi termasuk kes-kes yang melibatkan rasuah bernilai RM100,000 ke atas.

Katanya, melalui pengalamannya dalam tahanan ISA suatu ketika dahulu, proses siasatan yang dijalankan oleh pegawai ISA adalah berkesan.

"Kalau (yang disiasat kerana rasuah) dilepas balik, dia boleh sembunyi dokumen, sembunyi wang, tukar sana-sini.

"Kita tahu, tidak mudah nak buktikan seseorang itu bersalah. Jadi kes-kes besar contohnya yang melibatkan rasuah bernilai RM100,000, RM2 juta atau RM100 juta ditahan di bawah ISA.

"Saya percaya, tidak sampai seminggu, 'jentik' dua kali, dah tak payah tanya, dia akan mengaku duit saya ada di Switzerland dan sebagainya," katanya.

Beliau turut mencadangkan hukuman mandatori termasuk hukuman rotan dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengamalkan rasuah.

Sementara itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata, usaha bagi mengatasi masalah rasuah bukan hanya perlu bergantung kepada hukuman yang dikenakan tetapi juga melalui pendidikan kepada orang ramai.

Beliau berkata, orang Islam dan orang yang beragama perlu diingatkan bahawa rasuah merupakan satu kesalahan besar di sisi agama.

"Kita akan bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan bila kita tiada di sini lagi.

"Bagaimanapun dalam politik, banyak orang senyum sinis apabila soal agama dibangkitkan (berhubung rasuah) seolah-olah ia tidak digunapakai...saya hairan," katanya.

Selain itu, katanya, sistem penyampaian kerajaan juga mengundang berlakunya gejala rasuah apabila ada surat dan permohonan kepada agensi-agensi kerajaan yang tidak mendapat maklum balas.

Tajuddin dalam pada itu meminta semua ahli Parlimen sama ada daripada kerajaan atau pun pembangkang menghormati antara satu sama lain.

Beliau yang sebelum ini pernah beberapa kali diselar oleh ahli-ahli Parlimen kerana mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan di dalam Dewan berkata demikian ketika seorang ahli Parlimen pembangkang menggunakan perkataan 'kamu' semasa merujuk kepada beliau.

"Apa kamu-kamu ini. Cakap biarlah berhemah sikit. Ini tidak berparlimen.

"Sekarang kita cuba untuk memperbaiki. Kita hormati antara satu sama lain dan apa yang berlalu biarlah berlalu.

"Saya benci diri saya (kerana mengeluarkan kata-kata tidak sopan). Saya seorang muslim yang baik, jadi kalau kita bersalah, kita bertaubatlah dan minta ampun kepada Allah.

"Kalau kita bersalah dengan orang, kita minta maaf dengan dia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain