suria

Budak perempuan 14 bulan lemas di sungai

KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan yang baru belajar bertatih lemas dalam sungai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya dalam kejadian di Kampung Behor Tui dekat sini, pagi ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Nor Ilia Qistina Nasrul Azam sedang bermain di halaman rumah sebelum tergelincir ke dalam sungai itu.

Nenek mangsa, Che Rani Ibrahim, 50, berkata, dia tidak menyangka cucu perempuannya itu akan bermain di tepi sungai sedalam tiga meter itu.

Ketika itu, Che Rani sedang menyapu sampah di halaman rumahnya dan dalam sekelip mata mangsa dilihat tergelincir jatuh ke dalam sungai menyebabkan dia bergegas terjun untuk menyelamatkan mangsa daripada terus tenggelam.

"Tanpa berfikir panjang makcik terus terjun dalam keadaan airnya yang agak dalam menyebabkan mak cik hampir lemas dan sempat berpaut pada sebatang buluh di dalam sungai itu dan sebelah lagi sempat memegang Ilia," katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dia menjerit meminta bantuan dan kebetulan ada seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan mendengar jeritannya yang kemudian terus terjun dan membantu.

Mangsa kemudian dihantar ke HTF dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berembang, dekat sini.

Mangsa merupakan anak kedua pasangan Nasrul Azam Abd Razak, 28, dan Arnina Fairiz Abd Rashid, 24.

Kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu tidak berada di rumah ketika kejadian kerana keluar bekerja dan Ilia dijaga oleh neneknya sejak kecil lagi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Yusof Mohd Diah mengesah menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain